My Add

Friday 27 January 2012

Ambil alih perkhidmatan bas

MOHD. Ali Rustam (tengah) berjenaka dengan salah seorang pengarah syarikat bas selepas majlis Pemeteraian Perjanjian Pengambilalihan Operasi Bas Henti-Henti di Melaka, semalam. - BERNAMA

Oleh AMRAN MULUP
MELAKA, JUMAAT. 27 Januari, 2012: Kerajaan negeri dengan dibantu enam agensi akan mengambil alih pengurusan bas henti-henti di negeri ini selepas usaha menagih simpati daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerusi dana berjumlah RM400 juta ditolak oleh suruhanjaya berkenaan.

Mulai 1 Februari ini, perkhidmatan bas henti-henti yang diuruskan oleh sembilan syarikat itu akan diambil alih sepenuhnya kerajaan negeri melalui PM Cultural & Tourism Sdn. Bhd. (PMCT) untuk menguruskan perkhidmatan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan drastik itu terpaksa diambil kerajaan negeri selepas segala usaha untuk mendapatkan bantuan SPAD telah ditolak.

"Enam agensi iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Syarikat Pertanian, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Yayasan Melaka, kerajaan negeri dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) berjaya menyumbang sebanyak RM8 juta.

"Sumbangan yang dikumpul itu akan kita gunakan untuk membayar pampasan kepada sembilan syarikat bas yang diambilalih sebanyak RM7.7 juta," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perjanjian pengambilan operasi bas henti-henti oleh PMCT di Bilik Tun Mutahir, Seri Negeri di sini, semalam.

Sembilan syarikat bas yang menerima pampasan tersebut ialah Town Bus Service, Malacca Omnibus Service, Bas Tai Lye, Patt Hup Transport, Bas Tuah, Batang Bus, Salira Transport & Tours, Roda Juara dan Bas Wira.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, menerusi pengambilan operasi itu, pihaknya menjangkakan kerugian RM14 juta setahun bakal ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kerugian ini akan kita tanggung bersama oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kita tidak ada pilihan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai," katanya.

Beliau menambah, pampasan yang diberikan kepada sembilan syarikat bas tersebut membabitkan pembayaran kepada 118 kakitangan berjumlah RM1.8 juta, pengusaha bas berjumlah RM5.4 juta dan ex-gratia bernilai RM500,000.

Tegasnya, kesemua 118 pekerja termasuk pemandu di sembilan syarikat bas terbabit akan ditawarkan semula bekerja di bawah skim gaji baru yang disediakan oleh PMCT.

Katanya, bas-bas lama berjumlah 110 buah milik syarikat terbabit itu akan digunakan seperti biasa dan perjalanan adalah mengikut laluan asal.

"Dalam tempoh tiga bulan ini, kita tukar kepada bas baru secara berperingkat dengan 30 bas dibeli dan disewa daripada syarikat Scomi Group dan sebagai permulaan sebanyak 10 bas Panorama milik PMCT digunakan untuk menampung keperluan itu," katanya.

Katanya, kerajaan negeri merancang untuk membeli 131 bas baru bagi menggantikan bas yang sudah usang dan tidak sesuai untuk digunakan.

"Saya berharap kawasan yang tidak menguntungkan akan turut disediakan perkhidmatan bas henti-henti bagi memastikan rakyat di luar bandar turut menikmati kemudahan pengangkutan awam," katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment