My Add

Friday 27 January 2012

Ambrin kikis syak wasangka rakyat, NGO sambut baik

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Penjelasan Jabatan Audit Negara yang tidak pernah menyebut wujudnya perkataan kucar-kacir ataupun penyelewengan dalam laporan pengauditan terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) disambut baik oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Walaupun penerangan itu dikatakan mengambil masa yang agak lama, kenyataan terbaru oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang semalam berjaya mengikis syak wasangka masyarakat terhadap kes tersebut.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli berkata, laporan itu juga menunjukkan betapa liar tuduhan yang direka oleh sesetengah pihak untuk memalukan kerajaan.

Tambah beliau, Jabatan Audit Negara tidak sepatutnya mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat penjelasan mengenai perkara sebenar dan apa yang sepatutnya difahami umum.

"Walaupun ambil masa agak lama tetapi kita berterima kasih di atas laporan terbaru itu. Masyarakat perlu tahu cepat jika tidak, kerajaan yang akan menanggung pelbagai persepsi buruk.

"Tempoh yang lama bukan sahaja buat rakyat keliru dan pembangkang ambil kesempatan tetapi lebih menyedihkan ada pemimpin UMNO sendiri yang membuat tuduhan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ambrin semalam menjelaskan laporan Ketua Audit Negara 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, in a mess ataupun penyelewengan dalam pengauditan terhadap projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu Mohd. Jurit berkata, isu berkenaan harus dijadikan teladan kepada mana-mana pihak berkuasa atau yang terbabit untuk menyedari betapa penting satu tindakan dan penjelasan yang pantas.

Katanya, penjelasan itu juga membuktikan kes NFC bukan satu penyelewengan yang dilakukan kerajaan tetapi mungkin berlaku akibat kelemahan pengurusan perniagaan.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin mencadangkan supaya mekanisme laporan audit negara diperbaiki bagi mengelakkan laporan tidak tepat.

Katanya, Jabatan Audit Negara mungkin perlu mengemukakan satu laporan secara terperinci bagi memastikan tiada kekeliruan dan ruang untuk pihak tertentu membuat analisis secara tidak jujur.

"Perkara audit ini adalah satu perkara yang sensitif dan ia sepatutnya memberikan satu laporan yang tepat bukannya mengelirukan.

"Saya tidak tahu nak jelaskan caranya tetapi mungkin laporan secara terperinci perlu dikemukakan atau ia langsung tidak didedahkan,'' katanya.

Hamidzun berkata, laporan yang tidak lengkap hanya akan menyebabkan orang ramai keliru sekali gus mencalar kredibiliti badan yang terbabit melakukan pengauditan.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kacharberkata, penjelasan Ketua Audit Negara itu membuktikan kemelut yang berlaku dalam NFC tidak seteruk yang dicanang pembangkang.

"Mungkin ada sebab tertentu laporan itu sedikit lewat tapi yang penting kita sudah dapat gambaran apa yang berlaku dalam NFC.

"Ia bukanlah satu keadaan yang tidak dapat diselamatkan,'' katanya. UTUSAN

No comments:

Post a Comment