My Add

Friday 27 January 2012

Terap seni bina tradisional - Sultan Terengganu

SULTAN Mizan Zainal Abidin diiringi Adzlan Mohd. Dagang (kanan) bersalaman dengan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ketika menghadiri taklimat pembangunan di Kuala Terengganu, semalam.

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
KUALA TERENGGANU, JUMAAT. 27 Januari, 2012: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan ciri-ciri seni bina tradisional diterapkan dalam projek pembangunan fizikal agar ia dapat mencorakkan wajah dan identiti bandar raya ini.

Titah baginda, langkah itu bagi memastikan bangunan yang didirikan memancarkan keunikan tersendiri dan turut menarik minat pelancong untuk mengunjungi negeri ini.

"Dengan adanya bangunan yang cantik dan unik serta mengekalkan ciri-ciri tradisional, akan menambah lagi daya tarikan bandar ini," ujar baginda.

Sehubungan itu, baginda meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan khidmat arkitek yang mampu menonjolkan ciri-ciri binaan sedemikian.

"Beta juga berharap perancangan bandar raya Kuala Terengganu pada masa akan datang bakal memberi keselesaan kepada rakyat," titah baginda.

Baginda mencadangkan perkara itu semasa mendengar persembahan taklimat oleh Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang sempena keberangkatan baginda ke Bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini, semalam.

Baginda meluangkan masa lebih sejam bagi mendengar taklimat mengenai sejarah, pembangunan serta perancangan bandar raya Kuala Terengganu yang disampaikan oleh Datuk Bandar.

Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan para pembesar negeri.

Pada sesi taklimat itu, baginda diterangkan secara ringkas mengenai sejarah, bidang kuasa, profil bandar raya, hala tuju, struktur pentadbiran, fungsi dan peranan, pendapatan dan perbelanjaan, pembangunan semasa dan perancangan masa depan MBKT.

Antara perkara lain yang turut mendapat perhatian baginda ialah masalah kesesakan jalan raya dalam pusat bandar raya, kekurangan tempat letak kereta dan laluan pejalan kaki.

Sementara itu, Menteri Besar menjunjung kasih di atas titah baginda yang prihatin dan mengambil berat terhadap kepesatan pembangunan di bandar raya ini.

Ketika bercakap kepada pemberita, Ahmad berkata, kerajaan sememangnya berhasrat untuk mengembangkan seni bina tradisional yang dapat memberi identiti dan imej yang baik kepada negeri.

Biarpun pada masa ini, katanya, tiada sebarang arahan mahupun peraturan ditetapkan, inisiatif pemilik dan pemaju swasta untuk mengekalkan keunikan seni bina budaya tempatan amat dihargai.

"Bagi pembinaan bangunan milik kerajaan negeri, kita memang telah diarahkan agar semua bangunan perlu mempunyai ciri tradisional," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment