My Add

Monday 23 January 2012

Anwar tetap cadang pinda 'undang-undang aibkan seseorang'

KLANG, ISNIN, 23 Januari, 2012: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mahu undang-undang kononnya digunakan untuk mengaibkan seseorang dipinda termasuk peruntukan dalam Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.

Pendirian itu dinyatakannya dengan alasan bahawa undang-undang sedia ada itu tidak boleh dikekalkan kerana kononnya ia bersifat zalim dan terdedah kepada amalan fitnah oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya kata, undang-undang yang ada (Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan), saya tidak pertahankan. Ia undang- undang zalim, fitnah dan undang-undang inilah saya masuk penjara (sebelum ini)," katanya ketika berucap di Taman Sri Kerayong, Kapar yang dihadiri kira-kira 250 orang penyokongnya di sini kelmarin.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang menyatakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai tidak relevan.

Menjawab soalan berkaitan hak- hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", Anwar berkata dalam satu wawancara dengan BBC pada Khamis lalu bahawa "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menggunakan peruntukan undang-undang membabitkan kesalahan liwat untuk mengaibkan mana-mana pemimpin politik seperti mana didakwa pihak tertentu.

Menurut Najib, sebaliknya asas pertuduhan liwat itu dibuat apabila terdapat aduan daripada mangsa kerana setiap rakyat negara ini mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang berasaskan prinsip keadilan tanpa mengira kedudukan.

Dalam pada itu, selain mahu meminda undang-undang lapuk berkaitan kesalahan liwat, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menafikan beliau menyokong perkahwinan sesama sejenis apabila mempertahankan institusi perkahwinan di antara lelaki dan wanita.

"Sebagai orang Islam dan saya percaya majoriti bukan Islam di Malaysia mahu institusi perkahwinan di antara lelaki dan perempuan dipertahankan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Pejabat Peguam Negara pada 20 Januari lalu yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Anwar menyatakan beliau tidak peduli mengenai perkara itu.

"Apa, ingat saya peduli ke hal ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment