My Add

Sunday 22 January 2012

Bayar segera wang bantuan pelajar

BATU PAHAT, AHAD, 22 Januari, 2012: Kementerian Pelajaran meminta sekolah-sekolah swasta tidak melewatkan pembayaran bantuan persekolahan kepada pelajarnya kerana wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun sekolah pada 17 Januari lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kira-kira 38,720 pelajar sekolah swasta di seluruh negara terlibat dalam bantuan fasa pertama itu dan mereka sepatutnya menerima bantuan RM100 bagi setiap pelajar bermula semalam.

"Sekolah swasta yang layak menerima bantuan adalah sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran termasuk sekolah persendirian dan sekolah agama kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hamper kepada masyarakat Cina di sini, semalam.

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Mohd. Puad yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat menyumbangkan 6,000 hamper kepada masyarakat Cina di kawasan diwakilinya dalam program selama lima hari berakhir esok.

Menurut Mohd. Puad, bantuan dibuat dalam dua fasa bagi mengelakkan ada kalangan pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta berbincang dengan kesatuan-kesatuan berkaitan berhubung cadangan penempatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran serta agensi di bawahnya.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada JPA untuk menimbangkan keputusan terbaik tetapi berharap perbincangan antara kedua pihak perlu dibuat supaya aspek pembelaan dan kepentingan guru-guru diberi keutamaan.

Baru-baru ini, media melaporkan sebanyak 27 kesatuan dan persatuan guru menolak cadangan penempatan PTD dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di Kementerian Pelajaran serta agensi di bawahnya termasuk di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi, Institut Aminuddin Baki (IAB) dan sekolah.

Pertubuhan itu yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara memutuskan hanya guru berupaya melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran dengan berkesan dalam bidang pendidikan. - MM


No comments:

Post a Comment