My Add

Saturday 14 January 2012

Beri kuasa penuh kepada SPR

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU, SABTU, 14 Januari, 2012: Kerajaan disaran memberi kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan tanggungjawabnya tanpa berkongsi kuasa dengan mana-mana agensi atau mewujudkan sebuah badan bebas bagi memastikan pilihan raya dapat memuaskan hati semua pihak.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, pemberian kuasa penuh kepada SPR atau badan berkenaan dapat mengatasi beberapa kelemahan yang wujud dalam sistem pilihan raya terutama membabitkan undang-undang dan peraturan.

Beliau seterusnya mengakui sukar untuk mewujudkan pilihan raya yang benar-benar adil dan bebas serta dapat memuaskan hati semua pihak.

“Susah kita nak kata pilihan raya ini adil atau tidak kerana tidak ada ‘kayu pengukur. Dalam konteks kita (Malaysia), banyak perkara yang tidak dalam kawalan SPR.

“Suruhanjaya diminta menjalankan pilihan raya yang adil, bagaimanapun ia berpaksikan kepada undang-undang. Kalau undang-undang itu pincang, ia perlu diperbaiki.

“Beri kuasa kepada SPR supaya wujud pilihan raya yang boleh diterima umum. SPR tidak sepatutnya berkongsi kuasa dengan Kementerian Penerangan atau polis untuk melaksanakan pilihan raya,” katanya selepas Wacana Perdana Pilihan Raya Bersih dan Adil: Realiti Atau Ilusi? di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini malam semalam.

Beliau merupakan salah seorang daripada tiga ahli panel pada wacana yang dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan Kerajaan Pas Kelantan.

Dua lagi ahli panel ialah Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Abdul Rashid berkata, cadangan perubahan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya hanya melibatkan perkara-perkara kecil sahaja.

“PSC buat sikit saja, cuma buat ekor, kepala tidak sentuh. Perkara struktur itu asas. Yang lain, yang kecil-kecil dicadangkan PSC itu melibatkan peraturan saja,” katanya.

Sementara itu pada wacana tersebut, Abdul Rashid memberi kenyataan yang berbeza dengan apa yang dikatakannya ketika masih memegang jawatan Pengerusi SPR terutama dalam isu dakwat kekal.

Katanya, beliau mahu melaksanakan penggunaan dakwat kekal, bagaimanapun dihalang oleh pihak tertentu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment