My Add

Friday 27 January 2012

Bomba selamatkan harta RM74.6j

MOHD. Fadzil Haroon memakaikan pangkat Penolong Penguasa Bomba kepada para pegawainya pada Majlis Perbarisan Tahunan 2012 di Kangar, semalam.

Oleh ZAINU‘L AZHAR ASH‘ARI

KANGAR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berjaya menyelamatkan harta benda berjumlah RM74.6 juta dalam kebakaran di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah JBPM negeri, Mohd. Fadzil Haroon memberitahu, kejayaan tersebut merangkumi 231 kes kebakaran dalam tempoh tersebut yang hanya melibatkan satu kematian.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah kerugian harta benda yang tidak dapat diselamatkan dalam kebakaran tersebut ditafsirkan sebanyak RM5.7 juta.

“Selain kebakaran, sepanjang tahun lalu, kami juga menerima 223 kes kemalangan yang mengakibatkan 13 kematian dan 40 kecederaan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Tahunan JBPM Perlis 2012 di ibu pejabat jabatan berkenaan di sini, semalam. .

Menurut Mohd. Fadzil, secara keseluruhannya, JBPM diperkuatkan seramai 210 pegawai dan anggota pelbagai peringkat di negeri ini selain mendapat sokongan daripada 10 pasukan bomba sukarela.

“Kesedaran pengguna juga meningkat apabila hanya satu panggilan palsu dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Setakat ini, keadaan di Perlis terkawal tetapi kami sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi pelbagai kemungkinan walaupun kadar kes sama ada kebakaran atau kebakaran rendah,” tambahnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya menjalankan pemeriksaan berkala ke atas premis tertentu bagi memastikannya selamat dan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 32 premis iaitu bangunan sektor kerajaan dan swasta telah diberikan perakuan untuk membolehkannya beroperasi,” kata beliau. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment