My Add

Friday 27 January 2012

Tapak pelupusan baru dibuka 2014

HAMPIR 200 penduduk di Padang Siding, Pauh Kangar, Perlis semalam mengadakan protes terhadap tapak pelupusan sampah di sini yang didakwa gagal diurus dengan baik sehingga menyebabkan kehidupan dan kesihatan mereka terjejas.

KANGAR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Penduduk yang menghadapi pencemaran bau dari tapak pelupusan sampah di Padang Siding, di sini diminta bersabar kerana masalah itu akan selesai apabila tapak baru di Rimba Mas, Titi Tinggi, dekat sini dibuka pada 2014.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail berkata, kerajaan memahami masalah yang dihadapi oleh penduduk dan atas sebab itu, tapak pelupusan baru tersebut akan dibuka lebih cepat dari tarikh yang dirancang.

Syed Razlan berkata, projek tapak pelupusan sampah baru seluas 29,87 hektar terletak di kawasan yang hanya dikelilingi ladang getah dan berdekatan kuari batu kapur dengan jarak lima kilometer dari kediaman penduduk.

"Kerajaan faham masalah bau busuk yang dialami penduduk di Padang Siding sejak tapak pelupusan itu dibuka pada 2007. Justeru itu, kerajaan mula mencari tapak baru yang lebih strategik dan tidak akan menyusahkan lagi rakyat," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas masalah pencemaran bau yang dihadapi oleh penduduk yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah di Padang Siding.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Usahawan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Dr. Amar Hassan yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini memberitahu, kira-kira 70 penduduk dari Kampung Tunggang, Padang Siding dekat sini berkumpul untuk menyerahkan memorandum bagi menyuarakan masalah berhubung pencemaran bau di tapak pelupusan sampah tersebut.

Katanya, penduduk itu bukan sahaja menghadapi masalah pencemaran bau malah mula dijangkiti penyakit kulit.

Sehubungan itu, katanya, antara kandungann memorandum itu termasuk meminta kerajaan mencari jalan segera bagi mengatasi pencemaran bau dan meminta kerjasama Jabatan Kesihatan untuk memberikan rawatan kepada penduduk.

Wakil penduduk M. Marimuthu telah menyerahkan memorandum itu kepada Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk diserahkan nanti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment