My Add

Friday 27 January 2012

Gembira kerajaan tunai janji

BEBERAPA petugas melakukan kerja-kerja membaikpulih Rumah Pangsa Ampangan di Seremban.

Oleh NOOR HANIS HARUN
SEREMBAN, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Tidak sampai empat bulan selepas kerajaan mengumumkan untuk menaikkan taraf serta membina kemudahan awam termasuk menyelenggara Rumah Pangsa Ampangan dekat sini, janji itu kini telah pun ditunaikan.


Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh penempatan kawasan itu kini hampir selesai melalui peruntukan RM950,000 yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Oktober tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Ampangan, Anuwar Alabahas berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih terhadap keprihatinan kerajaan dalam membantu memberi kesejahteraan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya dan penduduk kawasan ini tidak menyangka apa yang telah lama kami harap dan doakan selama ini, termakbul akhirnya.

“Kami amat gembira dengan perubahan besar yang dilakukan di tempat tinggal kami. Kini kami boleh tinggal dalam keadaan lebih selesa dan harmoni,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jelasnya, tanpa bantuan dan keprihatinan kerajaan, penduduk di kawasan tersebut mungkin tidak mampu membaiki kerosakan rumah, termasuk kemudahan awam di sekitar kawasan perumahan itu.

“Sebelum ini kawasan tersebut boleh dikatakan sudah tidak bermaya kerana banyak masalah yang dihadapi penduduk selepas segala kemudahan termasuk saluran air rosak akibat terlalu usang.

“Tetapi kini semua telah berubah apabila longkang, tingkap, kawasan pembuangan sampah, paip air, termasuk taman permainan telah dibaiki.

“Bukan itu sahaja, rumah kami juga telah dicat, jalan ditar malah bumbung termasuk surau juga sudah dibaiki dan diganti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anuwar berharap penduduk dapat menghargai pemberian kerajaan itu dengan bekerjasama memelihara kawasan tersebut dengan baik pada masa depan.

Sementara itu, seorang penduduk, Zaharah Pin, 51, yang telah menetap di rumah pangsa berkenaan sejak 27 tahun lalu memberitahu, bantuan berkenaan secara tidak langsung mengubah imej serta persekitaran kawasan itu.

“Perasaan lega hanya tuhan yang tahu, kami memang sudah lama berangan-angan mahu memperbaiki rumah, malangnya duit simpanan tidak mencukupi.

“Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan terhadap kerajaan yang menyalurkan bantuan ini,” katanya.

Tambah seorang lagi penduduk, Mashitah Abd. Aziz, 53, kini dia dan seluruh keluarga amat gembira dengan perubahan yang dinikmati melalui kerja-kerja menaik taraf berkenaan.

“Kawasan ini sudah berwajah baharu. Mereka bukan sahaja membaiki kemudahan luaran rumah, malah baru-baru ini pihak Majlis Perbandaran Seremban juga datang ke rumah untuk membaiki sinki dapur dan menukar paip saluran air yang telah lama rosak,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment