My Add

Friday 27 January 2012

BR1M: Rakyat perlu menilai dengan bijak

HALIMAH Mohamed Sadique (tiga dari kiri) menyampaikan BR1M di Dewan Raya Taman Seri Saujana, Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Rakyat perlu menilai dengan bijak dan rasional bagi setiap bantuan yang disediakan oleh kerajaan kerana pelbagai langkah pembangunan telah direncanakan untuk semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan politik.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pelbagai usaha kerajaan melalui beberapa program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah di negara ini.

"Ia secara jelas menterjemahkan keupayaan ekonomi negara serta kepimpinan yang cekap dan mampu memberi jaminan kesejahteraan terhadap golongan berpendapatan rendah.

"Keupayaan memberi kesejahteraan menerusi bantuan kebajikan itu hanya mampu dilakukan oleh kerajaan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan BR1M kepada seramai 272 orang penerima di Dewan Raya Taman Seri Saujana di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Abd. Halim Abd. Jalil.

Pembayaran BR1M dibuat secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan kesesakan selain memudahkan urusan bermula Ahad lalu di Dewan Taman Kota Jaya (491 orang), Isnin di Dewan Teratai Kampung Batu 4 (389 orang), Selasa di Dewan Bandaran Kejora Bandar Tenggara (260 orang) dan Dewan Kampung Semanggar Dalam (220 orang) dan semalam di Dewanraya Taman Seri Saujana (272 orang).

Menurut Halimah, 1,632 orang daripada 12,000 pemohon di kawasan Tenggara menerima bantuan itu bagi fasa pertama yang melibatkan peruntukan RM816,000 dan beliau berharap pemohon yang belum menerima surat daripada Pejabat Daerah dapat bersabar menunggu fasa seterusnya

Seorang penerima cacat anggota, Mohd. Hasri Abdullah, 25, bersyukur apabila terpilih menerima bantuan BR1M bagi fasa pertama yang akan digunakan untuk menyambut kelahiran anak sulungnya pada Mei ini.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat," katanya yang cacat anggota bahagian tangan dan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya kira-kira tujuh tahun lalu.

Buat pesakit kronik kencing manis, Abdullah Abas, 55, dari Taman Kemang di sini, dia mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada wakil rakyat dan semua petugas yang berjaya melaksanakan program itu dengan teratur. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment