My Add

Tuesday 24 January 2012

Pegawai perubatan perlu lebih peka kes denggi

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 Januari, 2012: Pegawai perubatan diingatkan agar lebih peka terhadap kes demam denggi yang dirawat di hospital atau klinik mereka bagi membolehkan statistik tersebut diketahui oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Mary Suma Cardosa berkata, pegawai perubatan perlu segera melaporkan kes demam denggi ke pejabat kesihatan berdekatan bagi membolehkan tindakan seterusnya diambil dan sekali gus mengekang penyakit tersebut daripada berleluasa.

"Kegagalan pegawai perubatan melaporkan kes berkenaan menyebabkan tiada apa-apa tindakan diambil oleh pejabat kesihatan untuk mengatasi masalah itu.

"Jika mereka melaporkan kes itu, sekurang-kurangnya aktiviti semburan berkabus dapat dijalankan di kawasan yang didapati berlakunya kes demam denggi serta aktiviti mengenal pasti dan memusnahkan kawasan-kawasan 'panas' bagi mengawal pembiakan nyamuk aedes juga dapat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mengenai enam pegawai perubatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya yang dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang berikutan kegagalan melaporkan kes demam denggi kepada pejabat kesihatan berdekatan.

Menurut Mary, kegagalan enam pegawai tersebut melaporkan kes itu mungkin disebabkan kelalaian mereka dalam melakukan tugasan.

"Mereka sebagai pegawai perubatan sudah pasti tahu dan sedar tentang kepentingan melaporkan kes seperti itu di pejabat kesihatan, kerana ia merupakan satu penyakit yang berjangkit dan berbahaya.

"Saya percaya tiada apa-apa agenda atau muslihat tersembunyi yang ingin disorokkan oleh mereka," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa mengingatkan pengamal perubatan yang berdaftar di bawah MMA agar sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dan peka terhadap kes-kes seperti itu.

No comments:

Post a Comment