My Add

Friday 6 January 2012

Demi rakyat, Kelvin Chong tidak gentar ugutan

PETALING JAYA, JUMAAT, 06 Januari, 2012:Kira-kira seminggu lalu, Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Kelvin Chong Seng Foo diugut oleh individu tidak dikenali memintanya menghentikan usaha mengedar borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk Petaling Jaya Selatan.

Bagaimanapun ugutan melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan dia akan ditimpa kemalangan sewaktu memandu jika berdegil meneruskan kegiatan itu, langsung tidak diendahkan oleh Kelvin, 43.

Pada hari ini dengan ditemani enam petugas Pusat Khidmat 1Malaysia Petaling Jaya, Kelvin mengedarkan 350 borang BR1M kepada kira-kira 200 penjaja dan pengunjung Pasar Seri Setia di sini bagi memastikan tiada rakyat berpendapatan
rendah tercicir menikmati kemudahan itu.

Menurut Kelvin, pihaknya sudah mengedar lebih 5,000 borang BR1M kepada penduduk Kampung Tunku, namun hanya separuh telah dikembalikan.

Perkembangan itu, kata beliau, disyaki didalangi pihak pembangkang yang menghasut masyarakat terutama golongan peniaga Pasar Seri Setia supaya tidak menyertai BR1M, sekali gus mahu mengagalkan usaha kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah.

“Kita banyak menerima aduan daripada penduduk terutama peniaga Pasar Seri Setia yang memaklumkan bimbang menyertai BR1M selepas pihak pembangkang menghasut mereka agar tidak berbuat demikian.

“Golongan ini memfitnah kerajaan dengan mendakwa jika rakyat sertai program ini, semua maklumat peribadi dan status kewangan akan diketahui pihak berkuasa padahal mereka sendiri memutarbelitkan fakta sebenar program BR1M,'' katanya ketika ditemui pada majlis taklimat dan penyerahan borang BR1M di sini, hari ini.

Kelvin yang juga Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku, Petaling Jaya berkata, daripada kira-kira 3,000 borang BR1M yang dihantar, sebanyak 2,500 permohonan diluluskan dengan 800 penerima akan mendapat RM500 masing-masing pada 10 Januari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment