My Add

Friday 6 January 2012

Kerajaan timbang bina PPR di Segambut: Muhyiddin


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut oleh ahli-ahli UMNO Bahagian Segambut sejurus tiba di Masjid Alfirdaus bagi menunaikan solat Jumaat sempena program turun padang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Segambut di sini bagi mengatasi masalah setinggan di kawasan berkenaan. 

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai pembinaan PPR itu.

"Antara perkara yang akan dikaji kerajaan dalam pembinaan PPR di Segambut ialah jumlah peruntukan yang diperlukan, jumlah PPR yang perlu dibina dan berapa kadar sewa sebulan yang diperlu dibayar oleh penghuni kelak," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada jamuan bersama penduduk selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Firdaus, Segambut Luar, sempena program turun padang beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail. 

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Segambut Datuk Kamaruddin Ambok mengutarakan masalah 23 kawasan setinggan di Segambut kepada Timbalan Perdana Menteri, sambil memohon agar kerajaan membina PPR sebagai penyelesaian kepada masalah terbabit. 

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa orang ramai supaya menjaga keamanan yang dikecapi negara selama ini sambil menarik perhatian bahawa kerajaan tidak mahu pihak-pihak tidak bertanggungjawab membangkitkan suasana tidak tenteram sehingga boleh menjurus kepada huru-hara. 

"Keselamatan negara perlu dipertahankan demi memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya dan menambah kerajaan melakukan pelbagai program ke arah itu melibatkan transformasi kerajaan, ekonomi dan politik serta inisiatif lain untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih baik. 

Muhyiddin sebelum itu menyertai hampir 2,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan, dan mereka mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan pemimpin negara itu. 

Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Masjid Al-Firdaus akan dinaik taraf dalam masa terdekat untuk menampung pertambahan penduduk Islam di kawasan berkenaan. 

Beliau kemudian meluangkan masa kira-kira sejam melawat penduduk Kampung Segambut Permai yang terletak berhampiran. 

Seorang penduduk, Rogayah Ibas@Abas,76, berkata beliau terkejut dengan lawatan Muhyiddin dan berharap kerajaan akan memperbaiki kemudahan asas di kampung tersebut seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya. 

Katanya, lawatan Timbalan Perdana Menteri itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment