My Add

Friday 27 January 2012

Doris wanita Sarawak pertama Timbalan YDP Dewan Negara

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Senator Doris Sophia Brodi hari ini mencatat sejarah apabila menjadi wanita Sarawak pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Majlis angkat sumpah pelantikan jawatan membantu mempengerusikan persidangan itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Parlimen, di sini.

Pelantikan Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) berusia 52 tahun itu adalah bagi menggantikan Senator Datuk Armani Mahiruddin yang baru sahaja menamatkan penggal perkhidmatannya.

Doris yang dilantik sebagai Senator pada 12 Mac 2010 menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan kepada kaum wanita dan masyarakat Sarawak.

"Saya berjanji memberi kerjasama baik kepada Yang Dipertua Dewan Negara untuk memartabatkan dewan yang mulia ini,'' katanya.

Turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada majlis itu ialah Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan Senator Rahmani@Rohani Abdullah.

Mengulas pelantikan semula itu, Firdaus berharap perbahasan pada penggal kedua akan bertambah baik dengan pembentangan isu-isu yang membawa kepentingan masyarakat, wawasan dan perpaduan negara.

"Saya berharap Dewan Negara tidak akan dianggap sebagai sebuah institusi rubber stamp tetapi benar-benar berfungsi sebagai cabang perundangan untuk memastikan perlembagaan dan tata urus negara lebih berkesan," katanya.

Firdaus, 68, sebelum ini pernah diberi kepercayaan mempengerusikan persidangan Dewan Negara bagi menggantikan Armani.

Di samping aktif dalam perdebatan isu-isu bahasa, kebudayaan dan pendidikan, Firdaus pernah menjadi anggota delegasi Malaysia ke sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Rahmani, 65, yang merupakan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan berikrar akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kesetiaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment