My Add

Friday 27 January 2012

Penjara mandatori pemandu bukan penyelesaian terbaik

KUALA LUMPUR, JUMAAT,27 Januari, 2012: Cadangan melaksanakan hukuman penjara mandatori kepada pemandu yang menyebabkan kemalangan dan kematian dilihat bukan penyelesaian terbaik buat masa ini.

Pengarah Institut Penyelidikan Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Dr. Intan Rohani Endutberkata, hukuman penjara mandatori bukan cara terbaik untuk menyedarkan golongan tersebut, sebaliknya mendisiplinkan pemandu melalui penguatkuasaan secara berterusan adalah lebih berkesan.

''Penguatkuasaan yang longgar serta hanya dilakukan secara bermusim seperti Ops Sikap, dilihat tidak mampu untuk mendidik pemandu agar lebih berhemah di atas jalan raya.

''Jika penguatkuasaan diadakan secara berterusan dan bukannya hanya pada musim perayaan seperti sekarang, pemandu dengan sendirinya akan menjadi lebih berdisiplin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang baru-baru ini menyarankan pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Tambah Intan, mendidik serta mendisiplin pemandu adalah kaedah terbaik supaya mereka sentiasa mengamalkan cara pemanduan berhemah ketika berada di atas jalan raya.

''Contohnya, jika pihak berkuasa dapat mengadakan penguatkuasaan dengan lebih serius dan tegas, akan menimbulkan rasa takut kepada pemandu untuk memandu secara berbahaya.

''Apa guna hukuman yang berat jika tiada penguatkuasaan?" tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros),Prof. Madya Dr. Wong Shaw Voon berkata, undang-undang sedia ada sudah cukup, namun dari segi penguatkuasaan perlu penambahbaikan.

''Dalam hukuman sedia ada juga, pemandu yang menyebabkan kemalangan dan kematian boleh dikenakan penjara.

''Apa yang penting sekarang penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang berkaitan perlu ditambah baik agar hukuman itu boleh memberi pengajaran kepada orang lain," katanya

Katanya, jika hukuman sedia ada dapat dilaksanakan dengan lebih efektif oleh penguat kuasa, ia sebenarnya akan membantu pemandu untuk lebih berdisiplin.

No comments:

Post a Comment