My Add

Friday 27 January 2012

RM6 juta lebarkan Jalan Semenyih, Dusun Tua

JOHAN Abdul Aziz sempat beramah mesra dengan salah seorang penerima pada majlis penyerahan BR1M untuk DUN Semenyih di dewan Sekolah Menengah Engku Husain, Semenyih baru-baru ini.

SEMENYIH, JUMAAT. 27 Januari, 2012: Kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk kerja-kerja melebarkan jalan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Dusun Tua bagi mengurangkan masalah kesesakan di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, peruntukan yang diluluskan pada tahun lalu itu akan melibatkan laluan dari pekan Semenyih ke Beranang dan dari Dusun Tua menghala ke Batu 9 dan Batu 14 Jalan Hulu Langat.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan lawatan ke tapak yang terlibat dengan projek itu dan kerja-kerja pelebaran jalan akan dilakukan dengan segera," katanya ketika hadir majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini baru-baru ini.

Johan berkata, pelebaran jalan itu tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah kesesakan yang dihadapi oleh penduduk ketika ini tetapi ia lebih kepada usaha mengurangkan masalah kesesakan di situ.

Fasa pertama projek melebarkan Jalan Semenyih berjaya disiapkan pada tahun lalu dan ia ternyata berjaya menjadikan aliran trafik di kawasan itu lebih lancar terutama pada waktu puncak pagi dan petang.

Sementara itu, seramai 1,100 penduduk di DUN Semenyih menerima BR1M berjumlah RM500 setiap seorang pada majlis tersebut dan mereka adalah kumpulan pertama daripada 6,780 penerima bagi kawasan Parlimen Hulu Langat.

Beliau berkata, bantuan itu diberikan tepat pada masanya kerana biasanya pada awal tahun, jumlah perbelanjaan keluarga agak tinggi terutama mereka yang mempunyai anak yang bersekolah.

"Masih tidak terlambat bagi penerima untuk menggunakan wang ini untuk tujuan persekolahan anak-anak mereka. Pemberian ini juga boleh dikira sebagai ang pau terutama pada kaum Cina," katanya.

Johan menambah, langkah kerajaan melanjutkan tempoh permohonan BR1M sehingga 10 Februari juga menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin dan ikhlas dalam usaha untuk membantu mereka yang layak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment