My Add

Monday 9 January 2012

Hadi, Ku Li usah bermimpi - Ibrahim Ali

IBRAHIM Ali (tiga kiri) turut serta menunaikan solat hajat bantahan terhadap Anwar 901 di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Januari, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak usah bermimpi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sementara kerana kedua-dua mereka bukan orang kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana jika Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan memilih Azmin Ali jika pembangkang menguasai kerajaan Persekutuan nanti.

''Sebab itu dia (Anwar) letak Azmin selaku Timbalan Presiden PKR. Kemudian Azmin akan 'bersihkan' Anwar dan berpindah ke Kementerian Dalam Negeri untuk meneruskan 'program balas dendam'. Memang ada ura-ura mereka pujuk Ku Li tetapi Anwar tak setuju. Anwar tak percaya sesiapa kecuali Azmin.

''Pas tak payah mimpi. Paling tinggi pun (dapat) Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Menteri Kebajikan sahaja. Pas ibarat 'menang sorak kampung tergadai'. Sekarang pun kita dah nampak.

''Apa pun, kita berdoa semoga dijauhkan Allah, Anwar jadi Perdana Menteri,'' katanya ketika ditemui di program solat hajat Masjid Wilayah, Jalan Duta, dekat sini semalam.

Solat hajat anjuran Perkasa Kuala Lumpur itu diadakan bagi memohon doa semoga Malaysia terus diberikan keamanan di sebalik cadangan PKR untuk mengadakan perhimpunan sempena keputusan kes liwat Anwar, esok.

Ibrahim berkata, pihaknya yakin pembangkang tidak akan berjaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti dan semua pihak perlu memikirkan hikmah di sebalik 'hukuman' dunia yang menimpa Anwar.

''Ini bukan ujian tetapi pembalasan di dunia kerana terlalu hipokrit. Allah sayangkan Malaysia dan sebab itu ditunjukkan siapa Anwar. Ramai lagi calon yang layak jadi Perdana Menteri,'' ujarnya.

Mengenai perhatian negara terhadap keputusan kes liwat Anwar esok, katanya, Perkasa tidak akan berarak ke mahkamah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

''PKR sasar 100,000 orang akan berhimpun tetapi saya jangka tak seramai itu pun. Kita (Perkasa) akan memantau dari pekarangan Masjid Wilayah,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya tentang keputusan Pas memecat keanggotaan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, beliau berkata, perkara itu bukanlah satu kejutan.

''Saya sudah ramal dan ramalan saya tepat. Tidak terkejut. Justeru, tawaran kita untuk beliau menyertai Perkasa masih terbuka. Dia (Hasan) nak jawatan Presiden pun tidak mengapa. Kita di Perkasa tak kisah tentang jawatan,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment