My Add

Wednesday 11 January 2012

Hadiah Hari Wilayah


RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri) mengedarkan bendera kepada peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman sempena majlis pelancaran Kempen Jom Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/IMRAN ISHAK


Oleh ROSLAH OTHMAN

KUALA LUMPUR, RANU, 11 Januari, 2011: Hari Wilayah Persekutuan yang bakal disambut pada 1 Februari depan membawa khabar gembira buat warga kota terutama di perumahan kos rendah swasta di ibu negara.

Sempena sambutan itu, kos penyenggaraan perumahan jenis itu akan ditanggung sebanyak 90 peratus oleh kerajaan menerusi dana Tabung Penyenggaraan 1Malaysia (TP1M) dan baki kos oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) atau persatuan penduduk.

Bagi perumahan kos sederhana rendah swasta pula, TP1M akan menanggung sebanyak 70 peratus.

Sebelum ini, nisbah tanggungan kos penyenggaraan itu ialah 80:20 bagi perumahan kos rendah swasta dan 60:40 bagi perumahan kos sederhana rendah swasta.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, keistimewaan itu hanya akan diperoleh JMB, MC atau persatuan penduduk kedua-dua jenis perumahan berkenaan yang mengemukakan permohonan bantuan TP1M bermula pada 1 Februari.

“Selain itu, warga kota juga akan menikmati pelbagai keistimewaan lain termasuk harga diskaun bagi menggunakan kemudahan awam yang ditawarkan agensi kementerian seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

“Sempena sambutan tahun ini juga, pelbagai acara telah diatur seperti karnival sukan, dan konvoi berbasikal melibatkan orang ramai.

“Program ini bagi menanamkan rasa cinta dan menyemarakkan lagi penglibatan warga Wilayah Persekutuan dalam aktiviti yang diatur,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Jom Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Phesal Talib; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Raja Nong Chik berkata, kempen Jom Kibar Bendera Wilayah Persekutuan itu dianjurkan bertujuan mempromosi bendera kepada semua warga kota agar lebih dikenali dan disayangi.

Antara pengisian untuk kempen itu termasuk Pertandingan Kibar Bendera, Pertandingan Fotografi, Konvoi Berbasikal Kibar Bendera serta Pertandingan Jejak Jalur Gemilang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment