My Add

Monday 16 January 2012

Hapus tol tidak masuk akal

NOR Mohamed Yakcop menyampaikan buah limau dan angpau kepada warga emas dan orang kurang upaya sempena sambutan Tahun Baru Cina di Tasek Gelugur, Pulau Pinang, semalam.

BUTTERWORTH, ISNIN, 16 Januari, 2012: Janji pakatan pembangkang untuk menghapuskan tol lebuh raya apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah tidak masuk akal dan sukar untuk dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, cadangan itu jika dilakukan akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang yang banyak.

Katanya, ia tidak menolak kemungkinan negara akan menjadi muflis hanya kerana membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Menurut beliau, jika pakatan pembangkang menghapuskan tol, mereka tidak akan mempunyai sumber kewangan selain meminjam daripada pihak luar.

"Bila sudah pinjam, siapa yang akan bayar...sudah pasti anak cucu kita susah, kita tak mahu anak cucu kita susah hanya disebabkan pakatan nak buktikan boleh tunai janji pada kita sekarang.

"Duit kerajaan digunakan untuk bermacam perkara termasuk membina sekolah, menyediakan kemudahan awam, pengagihan kepada yang memerlukan dan bukannya untuk menghapuskan tol semata-mata," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Bagan Ajam dekat sini.

Seramai 623 penerima BR1M di Bagan Ajam hadir pada majlis penyerahan baucar itu membabitkan fasa pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Tawar.

Sementara itu, Nor Mohamed yang juga Ahli Palimen Tasek Gelugur berkata, kebanyakan firma penarafan kredit global seperti Moody's dan Standard & Poor meletakkan taraf kredit Malaysia pada kategori A sekali gus membuktikan ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

"Ini membuktikan pengurusan ekonomi oleh kerajaan adalah baik sekali dan kerajaan mampu mengagihkan wang kepada rakyat menerusi program BR1M dan tidak meminjam daripada sesiapa dalam hal ini," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment