My Add

Sunday 15 January 2012

Jangan peralatkan Islam

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

KUALA PILAH, AHAD, 15 Januari, 2012: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan agama Islam sebagai landasan untuk meraih kepentingan individu dan politik.

Baginda turut dukacita dengan tindakan segelintir umat Islam yang menjalankan aktiviti memesongkan akidah serta memanipulasi agama untuk kepentingan diri sungguhpun pelbagai program keagamaan telah diatur bagi meningkatkan kefahaman umat mengenai Islam.

"Beta menyeru supaya kesucian agama Islam terus dipelihara dan dipertahankan," titah baginda sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-64 di Istana Besar Seri Menanti, dekat sini semalam.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Laxamana, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta kerabat diraja dan pegawai tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan turut hadir.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan rasa sukacita dengan usaha dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan syiar Islam di negeri ini menerusi pembinaan masjid baru dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 bagi memastikan agama Islam dapat diamalkan dengan sempurna.

Malah, baginda juga menggesa seluruh masyarakat supaya menguruskan institusi agama itu dengan baik supaya ia menjadi pusat komuniti bagi meningkatkan perpaduan ummah di samping meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk.

Titah baginda, suasana aman dan harmoni yang dikecapi sejak sekian lama adalah hasil daripada sikap toleransi antara kaum di samping nikmat daripada pembangunan pesat sosioekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Beta ingin menggesa rakyat sekalian supaya tidak terpengaruh dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab, sebaliknya sikap saling bertoleransi dapat diterus dan diperkukuhkan lagi," titah baginda.

Pada akhir titah itu, Tuanku Muhriz mengingatkan penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena keputeraan baginda agar sentiasa menjaga tingkah laku serta menjadi contoh kepada masyarakat. - MM


No comments:

Post a Comment