My Add

Wednesday 25 January 2012

Kuala Langat berpotensi besar untuk maju

KUALA LANGAT, RABU, 25 Januari, 2012: Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Abdul Razak Jaafar melihat daerah itu mempunyai potensi yang besar untuk menjadi lebih maju memandangkan kira-kira 80 peratus kawasan industri di situ masih belum dibangunkan.

Malah, beliau cukup yakin lebih banyak pelabur akan datang ke daerah itu kerana kawasan Lembah Klang kini semakin padat dan pelabur akan melihat pula ke daerah itu yang dianggap sebagai Lembah Klang kedua.

"Terbaru, sebuah syarikat tempatan membuat pelaburan RM60 juta bagi membina sebuah kilang di kawasan Sijangkang dan pastinya banyak akan menyusul," katanya pada majlis sumbangan kepada 300 rakyat kurang mampu di daerah ini sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini.

Menurut Abdul Razak, daerah itu juga boleh dimajukan dengan tiga gabungan sektor iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian.

"Daerah ini merupakan kawasan perindustrian ketiga terbesar di negeri Selangor, selain mempunyai kawasan pelancongan setanding dengan tempat lain contohnya seperti Pantai Morib," katanya.

Abdul Razak kini bertugas di Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya berkuat kuasa 3 Januari lalu setelah dua tahun setengah dipinjamkan bagi menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Tugas beliau dipangku oleh Setiausaha MDKL, Muhammad Hafiz Shaari sebelum Yang Dipertua baru PBT tersebut dilantik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment