Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
PARIT, RABU, 25 Januari, 2012: Seramai 57 kanak-kanak dari tiga rumah kebajikan di negeri ini mendapat bantuan peralatan asas persekolahan daripada kakitangan Universiti Teknologi Petronas (UTP) menerusi Program Menggapai Impian yang diadakan Disember lalu.
Eksekutif Perhubungan Media UTP, Aslinda Jamaludin berkata, mereka terdiri daripada penghuni Asrama Anak-anak Yatim Darus Salam di Tambun, Ipoh dan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Yatim Rumah Wawasan di Manjung serta Pusat Jagaan Diamond Hope, Ayer Tawar.
“Ini merupakan tahun kelima UTP mengambil inisiatif mengadakan Program Menggapai Impian bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik untuk memiliki keperluan asas persekolahan mereka.
“Melalui inisiatif ini, kakitangan UTP secara sukarela menaja kanak-kanak berkenaan dengan sumbangan bernilai RM100 dalam bentuk alat tulis, beg, uniform dan kasut sekolah untuk persediaan ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut Aslinda, sejak mula diperkenalkan pada 2007, seramai 348 kanak-kanak dari 13 rumah kebajikan telah mendapat manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat UTP itu.
Katanya, pada tahun pertama, seramai 61 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Warga Miskin Nurul Iman dan Praise Home di Ipoh telah menerima bantuan peralatan sekolah menerusi program tersebut.
“Pada 2008 pula, 56 kanak-kanak dari Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar dan Rumah Anak-anak Yatim Maahad Tahfiz Al-Taufi Qiah, Taiping terlibat dalam program itu,’’ katanya.
Pada 2009 pula katanya, ia melibatkan 104 kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Dan Warga Miskin Bait Al-Amin, Parit dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Precious Gift Home, Ipoh.
“Pada 2010, seramai 70 kanak-kanak dari Rumah Nur Kasih di Bota dan Air Tawar serta Salvation Army di Jalan Kampar dan Tambun mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.
Beliau menambah, pada masa sama, program itu turut memupuk semangat berkongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan kakitangan universiti tersebut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment