My Add

Saturday 7 January 2012

Kumpulan SPDP 5 isytihar keluar parti berkuat kuasa hari ini

KUCHING, SABTU, 07 Januari, 2012: Pergolakan dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sampai ke kemuncaknya apabila kumpulan yang dilabelkan sebagai SPDP 5 mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Bekas Naib Presiden Kanan SPDP, Datuk Peter Nansian Ngusie yang mewakili kumpulan itu berkata, keputusan yang sukar itu terpaksa diambil memandangkan kepimpinan parti diterajui Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom gagal menyelesaikan konflik dalaman, selain menyisihkan kumpulan berkenaan.

Malah katanya, tindakan parti menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran pada 25 November lalu juga jelas mencabar kredibiliti dan prinsip kesetiaan mereka.

"Kami tetap berpegang teguh dengan prinsip yang kami umum sebelum ini iaitu sekiranya mereka 'sentuh' salah seorang daripada kami, maknanya mereka menyentuh kami semua," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumpulan SPDP 5 terdiri daripada Nansian, dua bekas Naib Presiden, Entri dan Datuk Dr. Tiki Lafe serta dua bekas Ahli Majlis Tertinggi iaitu Rosey Yunus dan Paulus Palu Ngumbang.

Dalam kenyataan akhbar sama, Nansian yang juga Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian negeri memberitahu, keputusan keluar parti diambil bagi menamatkan pertelingkahan serta konflik dalaman yang berlaku.

Katanya, tindakan itu membuktikan kesanggupan Kumpulan SPDP 5 untuk tidak lagi dilabelkan sebagai 'golongan menimbul masalah' ekoran dikatakan sering menentang kepimpinan Mawan.

"Jika presiden bersungguh-sungguh ingin menyelesaikan kemelut ini, beliau sepatutnya mewujudkan jawatankuasa perdamaian atau penyatuan, bukannya jawatankuasa disiplin.

"Kami berasakan tindakan beliau itu sengaja untuk 'mencantas' kami daripada parti walaupun kami pernah berusaha untuk berdamai lebih dua tahun lalu dengan menemui beliau tidak kurang daripada tiga kali secara rasmi dan beberapa kali secara tidak rasmi," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment