My Add

Sunday 15 January 2012

Lebih 100 majikan kecoh

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 Januari, 2012: Lebih 100 majikan pekerja asing kecoh apabila proses temu duga Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang sepatutnya berlangsung hari ini di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta ditangguhkan.

Majikan terbabit yang telah mendapat nombor giliran dan tarikh temu duga pada hari ini mula membanjiri kompleks tersebut sejak pukul 7 pagi bagi memastikan urusan mereka berjalan lancar.

Ada antara mereka yang datang dari Johor, Pulau Pinang dan Kelantan mula 'naik angin' selepas diberitahu proses temu duga itu tidak akan dilakukan.

Seorang majikan, Rozilan Ahmad, 46, memberitahu, dia yang tinggal di Gua Musang, Kelantan tiba pagi ini untuk proses temu duga oleh Jabatan Kawal Selia seperti diarahkan.

"Saya datang dari jauh sebab telah mendapat nombor giliran dan tarikh hari ini untuk membuat temu duga, tetapi bila ditangguhkan ia memang menyusahkan.

"Namun, saya berharap proses temu duga dapat dijalankan hari ini seperti temu janji yang diatur oleh pihak yang terlibat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Difahamkan, gangguan tersebut dikenal pasti berpunca daripada kesesakan maklumat yang dimuat naik dalam kapasiti melebihi jangkaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pihaknya kesal dengan penangguhan yang dilakukan kerana nombor dan tarikh temu janji telah diberikan.

"Segelintir majikan yang hadir memberitahu mereka mendapat berita penangguhan tersebut tetapi meraguinya kerana temu janji telah dibuat.

"Perkara ini jelas menunjukkan pihak terlibat gagal dari segi komunikasi dengan pelanggan, malah penangguhan tersebut akan menyebabkan pertindihan dengan majikan lain yang membuat temu janji pada tarikh tersebut," ujarnya.

Selepas dua jam diasak dengan pelbagai aduan, Jabatan Kawal Selia akhirnya bersetuju menjalankan temu duga seperti yang dijanjikan.

Seorang jurucakap Jabatan Kawal Selia yang enggan dikenali berkata, aduan majikan terbabit telah mendapat perhatian pihak atasan yang mengarahkan supaya temu duga tersebut dijalankan pada hari ini.

"Proses temu duga dimulakan pukul 10.30 pagi selepas semua pegawai hadir," katanya.

Menurutnya, antara agensi yang terlibat dalam temu duga itu adalah Jabatan Imigresen, Pendaftar Pertubuhan (ROS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). - MM


No comments:

Post a Comment