My Add

Tuesday 24 January 2012

Loji rawatan RM49j atasi masalah air

SRI AMAN, SELASA, 24 Januari, 2012: Kerajaan akan membina sebuah loji rawatan air yang menelan kos sebanyak RM49 juta bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air dalam kalangan penduduk di kawasan Lubok Antu, dekat sini.

Menteri Kemudahan Awam negeri, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, projek itu akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

"Sejumlah 20,000 penduduk dari lapan rumah panjang atau kampung bakal mendapat manfaat dengan adanya projek loji rawatan air Lubok Antu yang dijangka siap pada 12 April tahun hadapan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Lubok Antu di Wong Entungan, Jalan Batu Kaya dekat sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Kemudahan Awam negeri, Datuk Sylvester Entrie Muran.

Loji rawatan air Lubok Antu yang baru itu kelak dijangka mampu membekalkan sejumlah 7.5 juta liter air sehari berbanding loji rawatan di Sungai Lemanak yang hanya mampu membekalkan sejumlah tiga liter juta air sehari.

Awang Tengah berkata, loji rawatan air di Sungai Lemanak itu hanya mampu membekalkan air terawat kepada 7,500 penduduk di kawasan Lubok Antu mengikut statistik yang dikeluarkan oleh loji berkenaan.

"Oleh itu, sejumlah 14,770 penduduk di Lubok Antu masih bergantung kepada air sungai, air hujan, telaga dan sebagainya untuk keperluan asas masing-masing.

"Justeru itu, kita berharap projek terbaru itu akan mampu memberi kemudahan kepada semua penduduk di Lubok Antu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberikan kemudahan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik," ujarnya.

Awang Tengah menambah, loji rawatan air yang baru itu akan turut dapat membekalkan air ke rumah-rumah panjang di sepanjang kawasan Nanga Bulo hingga ke Jalan Lubok Antu selain dari Nanga Kesit ke Merindun. UTUSAN

No comments:

Post a Comment