My Add

Tuesday 24 January 2012

PPD, polis banteras gejala ponteng

TELOK KEMANG, SELASA, 24 Januari, 2012: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Port Dickson akan menjalankan gerakan dengan pasukan polis dalam usaha membendung gejala ponteng sekolah di sekitar daerah ini dari semasa ke semasa.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Abd. Rani Mat Som berkata, inisiatif berkenaan adalah sebagai langkah pencegahan bagi memastikan gejala itu tidak terus merebak sehingga menjadi trend di kalangan pelajar.

"Dalam gerakan itu, polis akan bertindak menyerbu lokasi yang dikenal pasti menjadi sarang pelajar ponteng sekolah.

"Selain itu, kita juga akan bergerak menerusi aduan serta maklumat yang diterima daripada orang ramai mahupun pihak sekolah," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, masalah ponteng perlu dicegah kerana ia menjadi salah satu punca pelajar terlibat dengan gejala sosial.

"Selain itu, kami dan agensi berkaitan akan turut mengadakan taklimat bagi memberi nasihat kepada pelajar di sekolah sekitar daerah ini berhubung isu ponteng.

"Kita mahu pelajar tahu tentang wujudnya sebuah jawatankuasa khas yang memantau selain memberi pendedahan mengenai keburukan ponteng sekolah kepada pelajar," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment