My Add

Wednesday 11 January 2012

Majikan minta 6P dilanjutkan

Oleh HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, RABU, 11 Januari, 2012: Pelbagai kemudahan telah disediakan termasuk operasi 24 jam di lapan Cawangan Pusat Setempat (OSC) di seluruh negara bagi memastikan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) berjalan lancar.

Namun tinjauan Utusan Malaysia pada hari terakhir proses pemutihan di pusat setempat Jabatan Imigresen Putrajaya mendapati suasana sesak dengan majikan dan pekerja asing tanpa izin yang urusan mereka masih belum dapat diselesaikan.

Masing-masing terpaksa beratur panjang sehingga ke luar bangunan dan dikawal oleh anggota Rela serta penguat kuasa bagi memastikan suasana tidak kelam-kabut.

Rata-rata majikan yang ditemui mahu tempoh program tersebut dilanjutkan kerana kesuntukan masa dengan memberi pelbagai alasan termasuk telah datang berkali-kali tetapi urusan masih tidak dapat diselesaikan.

Mereka juga mengeluh kerana terpaksa berbaris panjang menunggu giliran bagi melengkapkan proses pemutihan dan pengampunan besar-besaran untuk PATI.

Menurut Pengurus Bina Idola Sdn. Bhd., Anuar Azwan, dia terpaksa menunggu selama 14 jam untuk memutihkan tiga pekerjanya yang berasal dari Indonesia.

“Hari ini merupakan kali ke empat saya datang untuk proses pemutihan, mahu tidak mahu saya terpaksa tunggu untuk menyelesaikannya kerana tarikh tamatnya hari ini.

“Saya bukannya menunggu saat-saat akhir, sebelum ini saya sudah datang empat kali dan terpaksa pulang hampa kerana terlalu ramai yang datang untuk memutihkan pekerja masing-masing.

‘‘Jadi saya rasa ia patut di lanjutkan untuk kebaikan semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengikut rekod kerajaan sudah memberikan tempoh sejak 10 Oktober tahun lalu hingga hari ini untuk majikan berurusan di pusat pemutihan yang disediakan di beberapa negeri.

Bagaimanapun, majikan yang sedang menunggu kelulusan dokumen atau pasport daripada kedutaan yang dijangka siap selepas Sabtu ini dibenarkan berurusan terus dengan pusat pemutihan selepas menerima dokumen itu untuk proses selanjutnya.

Selain operasi 24 jam di OSC, kerajaan juga telah melonggarkan dasar dan syarat proses pemutihan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Restoran Sri Brinchang, R. Selvam berkata, dia terpaksa menunggu selama tujuh jam bagi memutihkan seorang pekerjanya dari Bangladesh.

Katanya, tempoh pemutihan sepatutnya dilanjutkan memandangkan masih ramai majikan yang belum berbuat demikian.

“Saya akui memang sudah lama kerajaan memulakan proses pemutihan ini, namun seperti kita lihat sendiri hari ini betapa ramainya majikan yang masih menunggu, tempoh yang diberikan tidak mencukupi.

“Majikan terpaksa melalui pelbagai proses menyebabkan pemutihan dibuat dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Style Labels Sdn. Bhd., Ng Wah Hoe berkata, dia sudah 15 kali datang ke pusat setempat Jabatan Imigresen Putrajaya, namun gagal melengkapkan proses pemutihan tujuh pekerjanya kerana terpaksa beratur panjang dan menjalani rutin yang rumit.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri perlu mencari mekanisme lain yang lebih memudahkan majikan mendaftarkan pekerja masing-masing kerana proses yang dilalui sekarang didakwa amat rumit dan menyusahkan.

“Apa yang penting tempoh proses pemutihan perlu dipanjangkan, majikan-majikan yang datang ketika ini perlu berbaris panjang walaupun ia beroperasi 24 jam,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment