My Add

Friday 27 January 2012

Mangsa ribut dibantu

RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin meninjau kerosakan yang berlaku pada bumbung PPR Seri Cempaka di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang dilanda ribut kelmarin. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan antara RM500,000 sehingga RM1 juta untuk membaik pulih kerosakan di lima kawasan di ibu negara yang dilanda ribut petang semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kawasan yang terlibat adalah Sungai Besi, Seputeh, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pangsapuri Taman Desa, dan yang paling teruk terjejas adalah di PPR Sri Cempaka.

"Di Sri Cempaka, kita kesan tiga keluarga perlu dipindahkan sementara ke kawasan berhampiran kerana ada kerosakan di rumah mereka dan aspek keselamatan yang kita pentingkan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa dan meninjau kerosakan yang berlaku ke atas PPR Sri Cempaka di Lembah Pantai malam semalam..

Beliau berkata, DBKL akan membaik pulih rumah PPR yang terjejas termasuk kedai yang rosak akibat kejadian itu.

Dalam kejadian ribut yang bermula kira-kira pukul 6 petang semalam, kira-kira 30 buah motosikal dan 10 buah kereta rosak akibat dihempap bumbung zink PPR Sri Cempaka yang diterbangkan angin.

"Penghuni rumah yang terjejas dan pemilik rumah yang terjejas boleh membuat tuntutan insurans termasuk pemilik kereta," katanya sambil menambah pengusaha loji kumbahan BEWG (M) Sdn. Bhd. turut menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 untuk membaik pulih rumah yang terjejas. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment