My Add

Wednesday 25 January 2012

Mansuh segera laluan bas


PENDUDUKdan peniaga di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur mengadakan bantahan bagi mendesak kerajaan memansuhkan laluan bas dan teksi yang didakwa menjadi punca perniagaan mereka merosot, baru-baru ini.

 Oleh ROSLAH OTHMAN

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Januari, 2012: Peniaga di Brickfields mendakwa laluan bas dan teksi yang diwujudkan di sepanjang Jalan Tun Sambanthan sejak Disember lalu hanya mendatangkan kerugian kepada mereka.

Sehubungan itu, mereka merayu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memansuhkan laluan itu dan mengembalikan sistem asal di jalan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk dan Peniaga Brickfields, Dr. Narkunam berkata, sejak laluan itu diwujudkan, mereka berhadapan dengan pelbagai masalah yang membawa kepada kesusahan kepada banyak pihak.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan kini enggan berkunjung atau berurusan di kawasan itu kerana terpaksa berhadapan dengan kesulitan termasuk terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari situ.

"Walaupun pihak berkuasa menyatakan ia adalah percubaan untuk tempoh tiga bulan tetapi apabila keadaan sudah menjadi begini, tidak perlu lagi tunggu tempoh itu tamat.

"Sebahagian besar peniaga di sini sudah merasai kesannya dan jika masalah itu tidak diatasi segera, saya percaya banyak peniaga yang terpaksa menutup perniagaan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai kempen mengumpulkan tandatangan peniaga di sini baru-baru ini.

Narkunam berkata, kempen itu adalah maklum balas kepada pembaharuan yang diperkenalkan dan akan diserahkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, peniaga kedai emas, Mohammad Shamer berkata, keadaan itu turut diambil kesempatan oleh penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka kerana terdapat lima kedai emas dan empat bank sepanjang jalan itu.

Katanya, salah seorang pelanggannya hampir dirompak sebaik sahaja keluar dari kedai emasnya untuk ke tempat letak kereta yang terletak agak jauh.

Choo Siew Cheong pula berkata, DBKL perlu lebih prihatin kerana ia bukan isu kecil yang boleh dipandang sebelah mata, sebaliknya melibatkan masa depan peniaga yang sudah berpuluh-puluh tahun mencari rezeki di situ. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment