My Add

Tuesday 24 January 2012

MB Selangor tak sesuai pegang portfolio agama - Perkasa

SHAH ALAM, SELASA, 24 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor membantah keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang sebelum ini dipegang oleh Exco kerajaan negeri dari Pas.

Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, perubahan portfolio berkenaan tidak sesuai kerana ia tidak membantu kepada usaha mengembang dan mengukuhkan agama Islam di negeri ini.

Ini kerana, kata beliau, Abdul Khalid dikatakan tidak mempunyai latar belakang pendidikan serta kepakaran dalam selok-belok mengenai agama Islam.

Selain itu, jelasnya, rekod turut menunjukkan Abdul Khalid pernah mempertikai dan menyatakan kekesalan terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah premis yang didakwa gereja di Damansara Utama tahun lalu.

"Berdasarkan laporan media pada Ogos lalu, Abdul Khalid menyatakan pendiriannya yang menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka sedangkan pemeriksaan JAIS adalah kerana bagi mempertahankan Islam setelah menerima aduan mengenai cubaan menyebarkan agama bukan Islam ke atas penganut Islam.

"Jika ini sikap dan pemikiran Abdul Khalid, bagaimana kesannya kepada pelaksanaan pembangunan dan pengukuhan akidah umat Islam di Selangor ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas rombakan kecil kerajaan PKR Selangor 18 Januari lalu yang memberi tamparan kepada Pas apabila portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali kini diambil alih oleh Menteri Besar.

Abdullah berkata, Abdul Khalid menerusi laporan media pada 7 Ogos 2009 mengumumkan membenarkan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam walaupun mendapat bantahan keras majoriti umat agama itu di negeri ini.

Dalam pada itu, Abdullah tidak menolak kemungkinan tindakan Menteri Besar mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam berpunca daripada desakan sekutunya, DAP.

"Keadaan tersebut mungkin berlaku kerana DAP menerusi Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu pernah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras yang dirampas di sebuah kedai serbaneka Seksyen 8, di sini pada tahun 2009.

"Mereka (DAP) mungkin tidak senang jika portfolio ini dipegang oleh Pas yang dilihat menggagalkan usaha mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment