My Add

Tuesday 24 January 2012

Tsu Koon serah pada Najib soal Pengerusi BN Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 JanUARI, 2012: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjelaskan spekulasi perubahan dalam kedudukan Pengerusi Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

Menurut Tsu Koon yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang, beliau tidak akan sesekali mendahului Najib dalam pengumuman penting seperti itu selari dengan falsafah dan semangat yang diamalkan oleh parti.

Katanya, sebarang keputusan mengenai kedudukan Pengerusi BN Pulau Pinang akan dibincangkan dahulu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang dipengerusikan Najib.

Justeru, beliau enggan mengulas laporan portal propembangkang yang mengatakan Najib akan mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang yang baru.

"Sebarang pengumuman perubahan itu, jika ada akan diumumkan Perdana Menteri. Bagaimanapun, tiada sebarang perbincangan mengenai perubahan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti November lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Menara PGRM di sini semalam.

Portal propembangkang, The Malaysian Insider hari ini mendakwa Najib akan membuat pengumuman itu ketika melawat ke Pulau Pinang esok.

Pada 2009 lalu, UMNO Pulau Pinang yang ketika itu diketuai Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menuntut kedudukan Pengerusi BN negeri diberikan kepada UMNO yang secara tradisi disandang oleh Gerakan.

Menurut Zahid, tuntutan itu adalah munasabah kerana hanya wakil UMNO memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.

Tsu Koon juga baru-baru ini mengumumkan kesediaan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment