My Add

Tuesday 24 January 2012

Orang kena tuduh perlu didakwa

Oleh HASHIM P. MAMAT

PADANG RENGAS, SELASA, 24 Januari, 201: Orang yang dituduh kerana dipercayai terbabit dalam sesuatu kes perlu didakwa di mahkamah agar sistem perundangan negara dan keadilan dapat ditegakkan meskipun ia mungkin mengaibkan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, bukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang menghadapi keadaan seperti itu malah ramai lagi turut didakwa dan berasa malu apabila dihadapkan ke mahkamah walaupun akhirnya dibuktikan mereka tidak bersalah.

Katanya, keadaan sama turut berlaku terrhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dan bekas Exco Selangor, Datuk Mohd. Shariff Jajang.

“Cara mana lagi kita hendak mendakwa orang melainkan cara yang sedia ada. Jika mahkamah mendapati mereka tidak bersalah, mereka akan terlepas daripada tuduhan ini. Namun begitu, satu dunia sudah mengetahui tentang kes rasuah tersebut.

“Ini sistem perundangan, tidak boleh dibuat apa. Kalau orang yang didakwa itu sudah tentu bersalah, tidak perlulah dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,401 penerima di sini, semalam.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Anwar mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mahu undang-undang yang kononnya digunakan untuk mengaibkan seseorang, dipinda termasuk peruntukan dalam Seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.

Pendirian itu dinyatakannya dengan alasan bahawa undang-undang sedia ada itu tidak boleh dikekalkan kerana ia bersifat zalim dan terdedah kepada amalan fitnah oleh pihak-pihak tertentu.

Mohamed Nazri turut menyangkal tuduhan Anwar kononnya peruntukan Seksyen 377 (B) dan 377 (C) sengaja digunakan untuk memalukan musuh-musuh kerajaan.

Tegas beliau, sistem perundangan itu bukan sahaja diamalkan di Malaysia, malahnegara lain di seluruh dunia tetap menjalankan pendakwaan terhadap orang yang dituduh bagi menegakkan keadilan.

“Setahu saya, Anwar sahaja yang dituduh meliwat tetapi Karpal Singh dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dituduh meliwat,” jelas Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, sepanjang perbicaraan kes tuduhan liwat itu, hakim telah berlaku adil apabila membenarkan penangguhan sebanyak 60 kali di dalam kes yang berpihak kepada Ketua Pembangkang tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment