My Add

Friday 20 January 2012

Najib jamin Kampung Puah tidak akan hilang identiti

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Kebimbangan penduduk Kampung Puah di sini berhubung pelan pembangunan yang mungkin menghilangkan identiti kampung itu sebagai sebuah perkampungan tradisi Melayu reda apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan status itu akan dikekalkan.

Memahami isi hati dan kebimbangan penduduk, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berunding dengan syarikat pemaju, Aamin Development Sdn. Bhd., supaya mengambil kira hasrat penduduk dalam merangka pembangunan.

"Saya faham isi hati masyarakat di sini yang ingin merasa hidup di dalam perkampungan tradisi di tengah-tengah bandar dan saya pun faham bahawa ini boleh jadi satu daya tarikan kepada pelancong.

"Jadi tak usah panjang cerita, saya minta Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Tan Sri Ahmad Fuad Ismail) bersama UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) berunding dengan syarikat pemaju berkenaan tolong bertimbang rasa sediakan sebahagian daripada tanah untuk masyarakat di Kampung Puah ini,” katanya disambut tepukan gemuruh dan laungan “Hidup Najib” daripada kira-kira 500 penduduk yang sedia menunggu sejak awal pagi di Balai Budaya Kampung Puah Lembah sempena program turun padang Perdana Menteri ke tiga kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment