My Add

Thursday 26 January 2012

Rayuan mangsa kebakaran

AHMAD Asit kini terpaksa berteduh di dalam khemah yang dibina di tapak rumahnya di Kampung Seri Inai, Hulu Klang yang terbakar pada 8 Januari lalu.

Oleh ROSLAH OTHMAN

HULU KLANG, KHAMIS,  26 Januari, 2012: Kawasan setinggan itu kelihatan seperti sebuah penempatan untuk pelarian. Beberapa khemah kelihatan didirikan di celah-celah sisa rumah yang telah terbakar dan runtuh.

Mereka bukan mangsa perang, tetapi mangsa kebakaran yang berlaku dua minggu lalu, namun terpaksa kekal di situ kerana tiada tempat lain untuk mereka jadikan tempat tinggal.

Kawasan setinggan yang dikenali sebagai Kampung Seri Inai di Batu 17 itu sebelum ini menempatkan 26 buah rumah. Hanya 10 yang terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang, 8 Januari lalu.

Kini, mangsa kebakaran itu merayu pihak berkenaan agar segera membantu mereka mendapatkan tempat tinggal yang lebih sempurna.

Mereka mendakwa, selepas keluar daripada penempatan sementara di Dewan Serbaguna AU5 Keramat di mana mereka tinggal selama seminggu, masing-masing terpaksa kembali meneruskan kehidupan di tapak asal rumah mereka berikutan tidak mampu mencari rumah sewa.

Lebih menyedihkan kebanyakan mereka yang merupakan warga tempatan itu terpaksa hidup dalam serba daif berikutan sehingga ke hari ini, tidak ada sebarang perkembangan terkini mengenai nasib mereka.

Seorang penduduk, Lisan Ahmad, 32, berkata keputusan untuk kembali semula ke tapak kebakaran kerana tiada pilihan lain.

Katanya, kebanyakan mereka tidak mempunyai saudara mara terdekat dan tidak mampu menyewa rumah kerana tidak berkemampuan.

"Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu kami, terutama mendapatkan tempat tinggal. Sampai bila kami hendak dibiarkan terus hidup begini," katanya ketika ditemui di kampung itu.

Jaliya Husni, 29, pula berkata, sebelum ini, mereka dimaklumkan bantuan hanya diberikan kepada rakyat tempatan, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil untuk membantu mereka.

Katanya, dia telah menulis surat kepada Ahli Dewan Undangan Hulu Klang, Shaari Sungip tetapi sehingga sekarang tiada sebarang maklum balas diterima.

"Apa yang diharapkan kami tidak diketepikan memandangkan kami juga ada hak untuk mendapat perlindungan," kata anak sulung daripada 12 beradik ini yang kini terpaksa menumpang teduh di rumah seorang adiknya di Ukay Perdana.

Warga emas, Ahmad Asit, 60, yang merupakan penduduk paling awal di situ turut mencurahkan perasaan kesalnya kerana tiada pihak yang tampil untuk menyelesaikan masalah mereka.

Dia yang sudah memiliki taraf warganegara kerana sudah lebih 30 tahun menetap di negara ini benar-benar berasa sedih.

"Apa hak kami sebagai individu yang sudah berstatus warga negara," ujarnya yang memilih untuk mendirikan khemah berdinding kanvas di tapak rumah yang terbakar.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati ada antara mangsa mendirikan khemah di garaj kenderaan untuk berteduh dan yang sedang berusaha membina semula rumah mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment