My Add

Tuesday 24 January 2012

Penduduk sengsara sedut habuk setiap hari

SEMENYIH, SELASA, 24 Janari, 2012: Penduduk Taman Semenyih Impian di sini sudah tidak tahan lagi dengan masalah habuk yang disebabkan oleh lori sampah yang melalui jalan di belakang rumah mereka setiap hari.

Kemuncak kepada kemarahan itu, penduduk bertindak menghalang lori-lori itu untuk ke sebuah kilang memproses sisa pepejal baru-baru ini.

Pengerusi persatuan penduduk perumahan itu, Allias Abdul Samad berkata, kira-kira 50 orang penduduk telah bersama-sama mengadakan bantahan dengan menghalang lori melalui jalan itu sejak pukul 7 pagi sehingga 2 petang.

Katanya, penduduk menuntut agar satu penyelesaian dicari kerana sejak kawasan perumahan itu wujud pada 2008, tiada sebarang tindakan yang diambil walaupun sudah banyak aduan dibuat.

"Sepanjang saya menjadi pengerusi di sini saya sudah dua kali menghantar surat aduan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman.

"Malah, pengerusi persatuan penduduk sebelum ini juga pernah membuat aduan yang sama, namun tiada tindakan diambil bagi membantu penduduk," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan yang diambil oleh penduduk itu bertujuan mendesak pihak bertanggungjawab supaya menurap jalan itu.

"Semasa bantahan dibuat, pihak MPKj dan pihak dari kilang sisa pepejal telah datang untuk berbincang dengan penduduk. Penyelesaian segera yang diambil ialah dengan menyiram air pada jalan," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Sahi Tampohkong, 35, berkata, penduduk bukan sahaja terpaksa menyedut udara yang kotor, malah rumah juga sering berdebu dan pakaian yang dibasuh tidak dapat dijemur di luar rumah kerana akan kotor semula.

"Keadaan ini juga membahayakan kesihatan penduduk, malah anak saya kerap batuk," jelasnya.

Shahlan Hamad, 30, pula berkata, mereka tidak bermaksud mahu mengganggu tugas lori itu tetapi mahukan pihak yang bertanggungjawab supaya lebih prihatin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment