My Add

Saturday 7 January 2012

Penganjur perlu beri jaminan tiada kekacauan

Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Januari, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901 memberi jaminan bahawa perhimpunan pada minggu depan itu berlangsung secara aman tanpa sebarang kekacauan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia penting atas semangat Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini kerana berkemungkinan akta itu sudah boleh dikuatkuasakan pada ketika itu.

Namun, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi pihak terlibat dalam menganjurkan perhimpunan itu.

“Pihak penganjur pastinya ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan untuk menjamin bahawa perhimpunan itu tidak menjadi sesuatu yang menimbulkan kucar-kacir dan huru-hara.

“Yang penting dan perlu diberi keutamaan ialah soal keamanan. Justeru, saya serahkan kepada pihak polis untuk menunjukkan cara bagaimana perkara itu hendak diuruskan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Mesra Rakyat 1Malaysia dan sumbangan Tahun Baru Cina di Taman Bukit Maluri, di sini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Perayaan Yee Lan Kuan Yin Ting, Bukit Maluri dan menyerahkan surat rizab tanah bagi tokong yang digunakan persatuan berkenaan.

Ketika ditanya kemungkinan kebenaran mengadakan perhimpunan telah mengecewakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis, Muhyiddin berkata, perkara itu merupakan kuasa yang telah diperuntukkan Parlimen dan Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 telah pun diluluskan.

Katanya, selain memberi peluang kepada rakyat berhimpun secara aman, ia juga akan menjadi ruangan baru untuk mereka mengadakan perjumpaan sekiranya perhimpunan itu berlangsung secara aman.

“Jadi bagi kita, asalkan ia tidak melanggar undang-undang yang diperuntukkan oleh akta yang baru, terserah kepada pihak berkuasa menentukan caranya (mengurus perhimpunan itu).

“Ini kerana, perkara ini (undang-undang) telah dibahaskan di Parlimen dengan panjang lebar dan bermakna sudah sampai masa ia dikuatkuasakan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa kedutaan asing, Muhyiddin mahu setiap negara luar supaya menghormati undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia.

Tanpa menolak kemungkinan perbuatan Anwar itu adalah untuk meraih simpati, katanya, bagi kerajaan, setiap pihak seharusnya dapat memahami keadaan yang sebenar di sebalik isu berkenaan.

“Daripada laporan yang kita dengar, kunjungan Anwar ke luar negara adalah melebihi lawatan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kita ada laporan di mana mereka bertemu,” katanya.

Perkukuh ukhuwah sesama umat Islam

Berucap semasa makan tengah hari bersama kira-kira 3,000 penduduk 
kawasan Segambut  selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Firdaus, Segambut Luar, Muhyiddin mengajak seluruh umat Islam memperkukuhkan ukhuwah sesama umat dengan berpegang kepada perasaan muhibah dan saling menghormati.

Kata Timbalan Perdana Menteri, umat Islam di negara ini juga perlu berpegang kepada semangat perpaduan sesama umat Islam serta di kalangan penganut agama lain dalam memastikan keamanan yang dikecapi selama ini dipertahan serta dipertingkatkan.

‘‘Janganlah ada pihak yang cuba membangkitkan perasaan benci dan menimbulkan keadaan porak-peranda dengan mencetuskan keadaan huru- hara.

‘‘Sebaliknya, sama-samalah kita berpegang dan menghayati sebaiknya kesejahteraan dan keamanan negara yang kita kecapi selama ini supaya ia dapat dikecapi buat selama-lamanya,” katanya.

Muhyiddin menambah, umat Islam di negara ini juga perlu mengambil iktibar serta pengajaran di beberapa negara Islam yang ketika ini berdepan dengan situasi bergolak sehingga menyaksikan berlakunya pertumpahan darah sesama sendiri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment