My Add

Friday 20 January 2012

Penghinaan secara halus terhadap Pas - Ahmad Maslan

AHMAD Maslan bersama sebahagian penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia pada majlis penyerahan BR1M di Dewan Jubli Intan, Pontian, semalam.
PONTIAN, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam daripada wakil Pas merupakan penghinaan secara halus terhadap parti itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Pas sewajarnya berasa terhina dengan tindakan berkenaan kerana portfolio berkaitan hal ehwal agama Islam kini tidak lagi disandang wakil parti itu, sebaliknya diketuai oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pada pandangan saya, tindakan berkenaan merupakan satu penghinaan halus terhadap kepimpinan Pas di Selangor dan mereka seharusnya membantah tindakan itu kerana semakin disisihkan daripada bidang utama.

"Daripada apa yang berlaku ini, kita dapat lihat bahawa mereka semakin disisihkan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Pas selama ini menjaga hal ehwal agama tetapi kini menjaga portfolio belia dan sukan," katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Jubli Intan di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan tersebut minggu lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus hanya bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Sementara itu Ahmad berkata, seramai 1,889 penduduk di kawasan Parlimen Pontian layak menerima BR1M bagi fasa pertama dan daripada jumlah itu 386 adalah dari Pontian, manakala baki 1,503 adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang.

"Bagi mereka yang tidak menerima BR1M jangan berkecil hati kerana mereka turut merasai bantuan secara tidak langsung daripada kerajaan dalam bentuk pemberian subsidi harga barang. Rakyat juga merasai subsidi dalam bidang pelajaran, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya.

"Tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM33 bilion untuk pemberian subsidi kepada rakyat. Tidak semua kerajaan di dunia ini memberi subsidi kepada rakyatnya," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment