My Add

Friday 27 January 2012

Prosedur penamaan gelaran dikaji – Jariah

PUTRAJAYA, JUMAAT, 27 Jan. – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengkaji semula prosedur baru penamaan gelaran keturunan kanak-kanak yang telah diputuskan tahun lalu supaya mengikut gelaran keturunan bapa.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said berkata, keputusan itu ekoran rasa tidak puas hati beberapa pihak terhadap prosedur baru yang diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Menimbang Permohonan Khas Kewarganegaraan Malaysia dan Permit Masuk pada 13 Julai tahun lalu.

Pekeliling mengenainya telah dikeluarkan JPN kepada cawangannya di seluruh negara pada 29 September dengan arahan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, dengan keputusan tersebut, anak-anak tidak lagi boleh mewarisi gelaran keturunan ibu sebagaimana peraturan sebelumnya yang membenarkan penamaan dibuat mengikut keturunan ibu atau bapa.

‘‘Bagaimanapun, selepas mengambil kira pandangan banyak pihak, JPN memutuskan untuk mengkaji semula keputusan ini dan tindakan susulan akan dibuat dengan bertemu beberapa kumpulan tertentu termasuklah pihak berkuasa setiap negeri bagi mendapatkan nasihat serta pandangan mereka sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya di sini, semalam.

Jariah mengulas tulisan pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia iaitu kaum wanita berketurunan raja-raja di Kelantan yang bergelar Tengku, Engku, Ku, Raja dan Tuan kecewa apabila anak mereka tidak boleh diberikan gelaran ‘Nik’ selepas berkahwin dengan suami yang bukan berketurunan raja.

Arahan tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kerabat raja-raja di negeri Kelantan kerana sebelum ini mereka menamakan anak-anak dengan gelaran ‘Nik’ tetapi tidak boleh berbuat demikian apabila melahirkan anak pada 2012.

Di Kelantan, keturunan raja-raja sejak turun-temurun mengamalkan penamaan gelaran ‘Nik’ sekiranya seseorang wanita berkahwin dengan lelaki bukan daripada keturunan raja. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment