My Add

Sunday 8 January 2012

Polis perlu lebih bersedia terima kritikan – Sultan Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (dua, kiri) berkenan berangkat ke Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, semalam. Turut mengiringi Hishammuddin Tun Hussein (tiga, kanan),Abdul Ghani Othman (kiri) dan Ismail Omar (tengah). - BERNAMA

KUALA LUMPUR. AHAD, 08 Januari, 2012: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, anggota polis tidak sepatutnya mengharapkan pujian atas setiap kejayaan yang dicapai oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebaliknya baginda bertitah, dalam berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat pada masa kini, anggota polis perlu lebih bersedia untuk menerima kritikan dan tuduhan.

“Jangan harapkan pujian yang manis atas segala kejayaan yang dicapai, tetapi bersedialah untuk menerima cacian atas satu kegagalan yang kecil.

“Masyarakat sekarang hanya nampak yang buruk daripada yang baik,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini semalam.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Baginda bertitah, dengan beban tugas dan tanggungjawab yang semakin luas, PDRM tidak mungkin mampu menyelesaikan semua masalah dengan sempurna.

Tegas baginda, walaupun kesilapan melibatkan tindakan anggota tidak boleh dinafikan berlaku, namun ia tidak seharusnya diperbesar-besarkan untuk menimbulkan persepsi negatif.

“Tidak wajar menghina seluruh pasukan PDRM atas kesilapan seorang anggota dengan menyerang polis melalui pelbagai tuduhan dan cacian. Masyarakat harus berterima kasih kepada polis kerana menjaga ketenteraman dan kesejahteraan hidup kita,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda bertitah, dalam menghadapi tanggapan negatif segelintir masyarakat, setiap anggota harus berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tugas yang berpatutan.

“Jika tidak berubah polis akan lemah dan terus ketinggalan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai. PDRM harus bergerak seiring dengan negara-negara maju yang lain dengan memiliki warga kerja yang bukan sahaja sihat mental dan fizikal malah mempunyai daya pemikiran yang tinggi,” titah baginda lagi.

Baginda juga berharap setiap anggota menjadi polis yang lebih berintegriti dan berdisiplin tinggi demi memastikan kepercayaan yang diberi oleh masyarakat dipikul dengan baik.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut menyampaikan ucapan tahniah kepada 960 pelatih yang berjaya menamatkan latihan pegawai kanan itu dalam tempoh sembilan bulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment