My Add

Tuesday 24 January 2012

Teruskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum

KOTA BHARU. SELASA, 24 Januari, 2012:Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap, masyarakat Tionghua terus memberi kerjasama terbaik kepada kerajaan negeri untuk meneruskan program pembangunan masyarakat.

Beliau turut berharap, semua masyarakat di negeri ini akan meneruskan keharmonian hidup bersempena sambutan perayaan itu yang merupakan tahun Naga Air mengikut kalendar Cina.

"Sukacita saya mengingati balik apa yang saya utuskan semasa sambutan Tahun Baru Cina sebelum ini, kita satu ummah yang bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman serta sejahtera berteraskan nilai agama.

"Islam sebagai agama yang tidak mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Justeru Islam mendidik agar berlaku adil kepada semua bangsa. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, melainkan dengan takwa kepada Allah," katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru Cina melalui laman sosial Facebook beliau semalam.

Menteri Besar berkata, masyarakat di Kelantan sudah terbukti hidup dengan penuh harmoni, sejahtera dan berkebajikan yang dinikmati oleh semua kaum.

"Ia ibarat air yang menjadi pendorong bagi masyarakat Tionghua untuk lebih maju menyumbang dalam apa jua bidang, terutama dalam sosioekonomi yang boleh memberi kebaikan untuk seluruh masyarakat Kelantan.

"Demikian pula, simbolik hidangan jamuan raya 'Yee Sang' yang mempunyai nilai keagungan dan kehebatan institusi kekeluargaan, ia juga suatu simbolik dalam mengharmonikan persefahaman antara masyarakat selain Tionghua.

"Semoga Allah SWT memberkati seluruh hidup masyarakat Kelantan yang telah terbukti sejarahnya begitu hormat-menghormati di antara satu sama lain. Ia sesuai dengan semangat kekeluargaan yang dipupuk sempena musim Tahun Baru Cina," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment