JAMIL Khir Baharom (tengah) diiringi Khadar Shah Abdul Razak (kanan) melihat proses pembuatan produk sarung kosong kapsul halal keluaran Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn. Bhd. di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN
BUKIT MERTAJAM, AHAD, 29 Januari, 2012: Para pemain dalam industri makanan, perhotelan dan perubatan kini semakin memahami nilai tambah produk halal yang mampu menarik pasaran bukan sahaja di Malaysia malah meluas ke peringkat antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, semakin ramai pihak menyedari kepentingan status halal kepada produk mereka malah semakin berlumba-lumba mendapatkan status tersebut.
Menurutnya, banyak pihak seperti pengusaha hotel, pengeluar produk makanan serta perubatan mula mengambil langkah untuk mendapatkan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memberi keyakinan kepada pengguna tentang kesucian produk mereka.
"Oleh itu saya amat menyokong langkah yang diambil oleh Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn. Bhd. untuk menerokai bidang yang jarang dikuasai oleh orang Islam iaitu mengeluarkan kapsul halal.
"Kewujudan produk ini memberi keyakinan kepada pengguna kerana mereka pastinya akan memilih untuk menggunakan sarung kapsul yang dijamin halal berbanding produk yang diragui statusnya," katanya ketika merasmikan produk sarung kosong kapsul halal keluaran Nasmir di Taman Perindustrian Ringan Seberang Jaya, dekat sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Nasmir Holdings Sdn. Bhd., Kadhar Shah Abdul Razak yang turut menyampaikan sumbangan kepada saudara baru Islam, pelajar cemerlang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 dan anak-anak yatim.
Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya kilang yang mendapat pengiktirafan Jakim sebagai pengeluar, pembekal, pengedar, pengimport dan pengeksport sarung kapsul halal yang diperbuat daripada bahan asas tulang lembu.
Tambah Jamil Khir, orang Islam khususnya diharapkan menyahut cabaran untuk menggunakan kapsul halal yang digunakan secara meluas dalam bidang farmaseutikal itu.
Jelasnya, kerajaan juga memandang serius isu itu dan mengorak langkah untuk membina Makmal Institut Halal Malaysia yang akan mula beroperasi dua tahun lagi yang berperanan sebagai pusat halal antarabangsa.
"Kita dalam proses akhir mengeluarkan tender untuk pembinaan makmal dengan kos RM27.3 juta itu di Bandar Enstek dekat Nilai, Negeri Sembilan yang akan beroperasi pada penghujung 2014," ujarnya.
Sementara itu, Kadhar Shah berkata, pada masa ini pihaknya mampu mengeluarkan sebanyak lima juta kapsul kosong sehari dan akan menambah dua lagi mesin dari Jerman yang akan tiba pada bulan hadapan.
Jelasnya, pihaknya amat berterima kasih kepada Jakim yang prihatin dengan isu halal melibatkan kapsul gelatin itu dan memberi penekanan khusus kepada sumber gelatin yang digunakan dalam pembuatan sarung kapsul terbabit.
"Oleh itu kami amat bersyukur kerana Jakim telah meminda Akta Perihal Dagangan 1972 melibatkan pengeluaran sijil halal yang kini hanya di bawah bidang kuasa Jakim dan majlis agama Islam negeri-negeri," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment