My Add

Friday 27 January 2012

Tidak perlu terburu-buru penjara pemandu

SHAH ALAM, JUMAAT, 27 Januari, 2012:Kerajaan tidak perlu terburu-buru meluluskan undang-undang untuk menghukum pemandu yang menyebabkan kemalangan maut di jalan raya dikenakan hukuman penjara mandatori.

Pengarah Urusan Metro Driving Academy Sdn. Bhd., Mat Aris Bakar berkata, keadaan itu boleh memberi implikasi yang besar terhadap keluarga pemandu yang dihukum penjara kerana sesuatu kemalangan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Beliau memberitahu, sebagai contoh, kes kemalangan maut yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini perlu dijadikan iktibar sebelum seorang pemandu dihukum penjara mandatori.

“Apakah seorang ayah patut dipenjarakan jika anaknya maut kerana dihempap kenderaan yang terbalik akibat kemalangan, sedangkan beliau tidak berniat berbuat demikian.

“Jika undang-undang tersebut dikuatkuasakan, penjara kita akan dipenuhi pesalah jalan raya kerana sehari kita ada kira-kira 17 kemalangan maut yang secara tidak langsung menyebabkan 17 orang akan didapati bersalah setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Metro Driving Academy Sdn. Bhd. dan Yayasan Guru Malaysia Berhad di Hotel Concorde di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang baru-baru ini menyarankan pihak berkuasa mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment