My Add

Tuesday 17 January 2012

Syor pendaftaran pengundi selari perkembangan semasa

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Januari, 2012: Cadangan bagi pendaftaran pengundi baru bermula pada usia 20 tahun dan mengundi secara automatik sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun adalah inisiatif terbaik bagi memperluaskan lagi unsur demokrasi dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, cadangan yang sedang diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya itu adalah bagi memastikan proses demokrasi di negara ini selari dengan arus perkembangan semasa.

"Apa-apa perubahan yang dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia dalam menjamin hak untuk mengundi. Maka oleh itu, undang-undang serta prosedur perlu diubah mengikut kehendak semasa.

"Saya berpandangan cadangan ini amat baik untuk memperluaskan unsur-unsur demokrasi dalam pilihan raya dan membantu mengatasi masalah lebih empat juta rakyat yang masih belum berdaftar sebagai pemilih," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PSC Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili semalam yang memberitahu jawatankuasa tersebut sedang mengkaji cadangan pendaftaran pengundi baru bermula pada usia 20 tahun dan mengundi secara automatik sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun.

Buat ketika ini, pendaftaran pengundi baru bermula pada umur 21 tahun dan perlu menunggu enam bulan sebelum nama mereka diwartakan dalam senarai pengundi SPR.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib Khalid, cadangan tersebut merupakan perkembangan positif untuk menjadikan sistem pilihan raya lebih terbuka dan menarik penglibatan generasi muda.

"Ia tidak bertentangan dengan perkembangan semasa kerana kita mahu masyarakat sedar yang tanggungjawab mengundi merupakan hak yang perlu ditunaikan oleh manusia yang merdeka," katanya.

Bagaimanapun, Kartini mengingatkan, pihak jawatankuasa berkenaan perlu teliti dengan mekanisme pendaftaran pengundi tersebut agar tidak menimbulkan kesulitan pada masa depan serta menjamin ketelusan sistem pilihan raya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment