My Add

Thursday, 27 October 2011

FAM pertahan naik harga tiket

KHAMIS, 27 Oktober. Awal pagi tadi, saya terima panggilan telefon daripada seorang sahabat lama. Nada suaranya macam orang marah. Hairan saya, kerana dia jarang berperangai begitu.

Sahabat saya ini seorang yang penyabar, lemah lembut tingkah lakunya

Tak tahan aku, katanya lagi.
Azzuddin Ahmad

Apa hal ni, pagi-pagi buta dah naik angin?

Mana tak naik angin, macam mana tak marah, harga tiket bola dah naik melambung.

Cekek darah betul. Dahlah harga barang semua naik, tiket bola pun nak naik juga, katanya. Suaranya makin meninggi.

Kalau dah mahal, tak payah tengoklah, duduk rumah, tengok TV saja, usik saya.

Mana boleh, tengok TV tak sama dengan menonton di padang, katanya sambil merungut panjang, bla..bla.bla.

Dia memang kaki bola. Sejak muda lagi, masa era Ghani Minhat dan Mokhtar Dahari dahulu. Tak pernah missed, lebih-lebih lagi bila pertandingan akhir. 

Belum sempat saya sambung cakap, dia mengomel panjang. Dia macam marahkan FAM.

Tak bertimbang rasa langsung, katanya. 

Orang kaki bola tak banyak duit. Mereka semua orang biasa. buruh, pekerja kilang, orang miskin. Bukan macam orang kaya, mereka tak minat bola, mereka tengok benda lain.

Jadi, kau tak pi tengoklah kali ni? tanya saya berseloroh, cuba mengusiknya, setelah dia macam cool sedikit.

Mana boleh missssss... Kami ketawa.

Menurut laporan media hari ini, sekalipun berdepan dengan berbagai bantahan, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berganjak daripada keputusannya'

FAM menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Shah Alam Sabtu ini, tetap RM50.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan, pihaknya tidak bercadang menurunkan harga tiket kerana selepas kajian, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan mendapati harga tiket yang ditetapkan adalah wajar.

“Harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium, keselamatan dan beberapa faktor lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Para penyokong kedua-dua pasukan turut membantah harga tiket itu bagi semua tempat duduk stadium.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi di mana penyokong bebas memilih untuk memulau perlawanan akhir nanti dan FAM tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menyekat keputusan mereka itu.

Mengulas permintaan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya FAM mengkaji semula harga tiket tersebut, beliau berkata FAM menghormati permintaan itu namun FAM tidak akan berganjak dari keputusan asal.

Kelab penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) turut membidas kenaikan harga tiket secara mendadak itu.

Setiusaha Peteh, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berkata tindakan FAM disifatkan tidak profesional dan menyentap semangat penonton yang datang dari jauh bagi menyokong pasukan kesayangan.

“Rata-rata penyokong bukannya dari golongan berada dan RM50 adalah jumlah yang besar buat kami,” kata beliau.

Wan Mohd Azmi turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu kerana prihatin memberi subsidi 30,000 tiket dengan harga RM25, namun jumlah tersebut masih belum mencukupi.

Sekumpulan penyokong pasukan Negeri Sembulan semalam, mengadakan bantahan secara aman di hadapan Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) serta mengedarkan risalah kepada penyokong lain supaya memboikot penjualan tiket perlawanan akhir itu.

Timbalan Kelab e-penyokong bola sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), Mohd Faidzul Mohd Noh berkata pihaknya bersepakat dengan Kelab Penyokong Ganusoccer.net bagi memulau perlawanan Sabtu ini dengan hanya berada di luar stadium.

Pada musim lepas, harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dijual pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa dan RM50 bagi tempat duduk grandstand.

No comments:

Post a Comment