My Add

Sunday 30 October 2011

Negara Islam perlu 'Pandang ke Timur': Dr Mahathir

Dr Mahathir
AHAD, 30 Oktober, 2011. – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain seharusnya memandang ke arah negara-negara Timur yang lain dan bukannya Barat sebagai model untuk pembangunan mereka.


Bekas Perdana Menteri berkata, beliau percaya telah membuat keputusan yang betul dalam memperkenalkan dasar “Pandang ke Timur” iaitu mencontohi etika kerja dan teknik-teknik perniagaan dari Jepun dan Korea Selatan dalam tempoh beliau sebagai perdana menteri, lapor Bernama.

"Pada masa ini, terdapat banyak sangat masalah dengan negara-negara Barat. Masalah di Barat ialah mereka telah meminjam terlalu banyak dan tidak boleh membayar semula.

“Kita tidak boleh ada negara macam itu untuk dijadikan model.

"Jika kita lihat negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan China di Timur... China ada rizab bernilai AS$3.2 trilion. Mereka berenang dalam lautan duit. Korea boleh hasilkan produk utama yang lebih baik daripada yang dihasilkan oleh negara-negara di Barat.

"Jepun, yang kita tahu, ialah negara yang kalah dalam peperangan... musnah sepenuhnya tetapi kembali membina semula negaranya sendiri, dan menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia.

“Jika kita mahu tiru atau belajar sesuatu, belajar dari kejayaan orang lain, bukan daripada kegagalan,” kata beliau ketika sesi soal jawab di Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam Langkawi yang ketiga (LIFE 3) di Langkawi.

Sementara itu, Dr Mahathir berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran dalam melaksanakan Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi.

Ini bagi mengelakkan peruntukan untuk pembangunan itu lambat digunakan, katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peruntukan hampir setengah bilion untuk pembangunan Langkawi, tetapi sebarang projek pembangunan sering mengambil masa yang lama terutama perkara proses pengambilan tanah.

”Kalau beri kelonggaran kita boleh capai apa yang hendak dilakukan. Kalau nak ambil tanah sahaja, makan masa setahun. Setahun lepas tu baru boleh buat. Jadi peruntukan itu tidak dibelanjakan.

”Saya percaya kerajaan negeri Kedah boleh meluluskan permohonan tanah dengan cepat tetapi prosedur kerajaan kena ikut... ini yang makan masa,” katanya di sini.

Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lepas mengumumkan Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan RM420 juta.


Antara inisiatif yang diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan, serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.

No comments:

Post a Comment