ISNIN, 31 Oktober, 2011: Menarik sungguh laporan Bernama apabila sekumpulan 10 pelajar, yang kebanyakannya dari Jerman, semalam meredah lumpur untuk menikmati pengalaman menanam padi secara tradisional di Kampung Sungai Bakong dekat Kangar menerusi program Mai Turun ke Bendang.
Mereka yang memakai pakaian tradisional masyarakat petani Perlis adalah para peserta program pertukaran pelajar Antarabudaya Malaysia yang berada di Kangar antara tiga bulan dan setahun.
Para peserta itu bukan sahaja mendalami budaya hidup masyarakat tempatan tetapi ada di antaranya yang boleh menguasai Bahasa Melayu dalam tempoh yang singkat.
Bagi Meveen Patzelt, 19, dari Jerman, dia gembira dapat mengenali budaya masyarakat tempatan dan tidak berasa sukar untuk bergelumang dengan lumpur sawah walaupun ia pengalaman pertama.
Pelajar perempuan yang boleh bertutur bahasa Melayu teruja dengan kegiatan penanaman padi secara tradisional yang masih diamalkan meskipun industri padi di negara ini sedang menuju proses kemodenan.
Seorang lagi peserta perempuan program itu, Daniela Reiter, 15, berkata, pengalaman turun ke sawah yang diusahakan penduduk tempatan, Othman Ludin, 60, itu tidak mungkin diperoleh di negara kelahirannya, Jerman.
Reiter yang telah lebih tiga bulan berada di negara ini juga boleh bertutur bahasa Melayu dan teruja dengan keindahan budaya masyarakat di sini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Antarabudaya Malaysia, Yahya Mat Hassan berkata, setiap tahun 300 peserta terbabit dengan pertukaran pelajar iaitu 200 pelajar negara ini yang menyertai program di luar negara dan 100 pelajar asing memasuki negara ini.
Beliau berkata, Antarbudaya Malaysia yang wujud sejak 54 tahun lalu bernaung di bawah AFS (American Field Service) yang diperkenalkan 10 tahun lepas.
Yahya berkata, saban tahun AFS mengatur pertukaran kira-kira 12,000 pelajar daripada 70 buah negara yang sekali gus mewujudkan 400,000 sukarelawan yang terdiri daripada keluarga angkat, jiran keluarga angkat dan bekas-bekas peserta program pertukaran pelajar.
Menurutnya, AFS adalah pertubuhan bukan mencari keuntungan tetapi berusaha mewujudkan suasana selamat dan aman di kalangan negara-negara peserta melalui program seumpama itu.
Kesan daripada program itu, AFS dapat melahirkan masyarakat yang terbuka dan mengamalkan nilai hidup yang baik termasuk bertoleransi, menghormati budaya dan agama kaum lain dan berintegriti.
Sebelum itu, isteri Menteri Besar Perlis, Datin Seri Asiah Asmuni melancarkan program “Mai Turun ke Bendang” dengan harapan ia dapat dijadikan acara tahunan.
Ini kerana kehadiran para pelajar antarabangsa ke kawasan bendang boleh mendedahkan mereka kepada kehidupan masyarakat Melayu yang kaya dengan keunikannya termasuk melalui amalan penanaman padi secara tradisional.
Beliau kemudiannya menyaksikan kegirangan para pelajar berkenaan menanam padi dengan lumpur turut melekat di wajah mereka ketika kerja-kerja penanaman itu.
No comments:
Post a Comment