SELASA, 25 Oktober, 2011: Singapura telah mengatasi China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia tahun lepas, sekali gus menandakan bagaimana perdagangan telah berkembang antara kedua-dua negara jiran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, lapor Bernama.
"Saya gembira untuk mengumumkan yang Singapura kini merupakan rakan dagang terbesar kita, mengatasi China, tahun lepas. Jadi, itu adalah petunjuk kukuh bagaimana perdagangan dua hala telah berkembang.
"Sudah pastinya, Singapura adalah pelabur paling penting untuk kita. Kami ada berbincang sebentar tadi mengenai meningkatkan kerjasama dua hala untuk perusahaan kecil dan sederhana (di Singapura), kemungkinan menempatkannya semula di Johor,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Teo Chee Hean.
Muhyiddin dan Chee Hean turut membincangkan pelbagai isu termasuk pendidikan, pelancongan dan iklim ekonomi global semasa.
Beliau berkata, Chee Hean ada juga menyebut mengenai krisis zon euro dan aktiviti ekonomi yang menurun di Amerika Syarikat.
Berita Harian pula melaporkan, lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Singapura mencapai persetujuan dalam usaha menjalankan transformasi dan meningkatkan kerjasama lebih rapat dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan teknikal, alam sekitar dan pelancongan.
Perkara itu antara yang dibincangkan Muhyiddin dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya, Teo Chee Hean, sempena lawatan rasmi dua hari ke republik itu.
Muhyiddin berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga profesional dan berkemahiran tinggi bagi menjalankan transformasi sistem pendidikan tinggi ke arah lebih baik termasuk di peringkat diploma.
"Singapura mempunyai pengalaman yang baik dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang pendidikan yang boleh dijadikan model untuk meningkatkan lagi kemahiran tenaga kerja dalam usaha menghadapi cabaran pada masa akan datang," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Teo di Kementerian Dalam Negeri Singapura, dekat sini.
Pada hari terakhir lawatan itu, Muhyiddin turut mengunjungi Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran republik itu, Heng Swee Keat, selain melawat Institut Pendidikan Teknikal, Lembaga Pelancongan Singapura dan Loji Pelupusan Sampah Tuas.
Turut serta dalam lawatan itu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit.
Muhyiddin berkata, pelbagai peluang dan bidang dalam pendidikan yang boleh diterokai oleh generasi muda, secara tidak langsung berupaya meningkatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.
Mengenai bidang pelancongan, beliau berkata, kedua-dua negara boleh meningkatkan lagi usaha meneroka bidang pelancongan yang dikenal pasti berpotensi besar untuk kepentingan bersama dan turut mencadangkan pakej yang memberi mampu memberi keuntungan kedua-dua negara termasuk antara Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Limited.
Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa kerja antara kedua-dua negara bagi membantu mempromosikan lagi sektor pelancongan termasuk menarik pembabitan lebih aktif daripada sektor swasta.
Selain itu Muhyiddin berkata, turut mendapat perhatian pihaknya dalam pertemuan itu adalah usaha meningkatkan lagi pelaburan dan pembangunan di Wilayah Johor Selatan termasuk di Desaru yang sudah lama dikenali oleh pelabur.
Sementara itu, Teo berkata, kedua-dua pihaknya bersetuju untuk melaksanakan dua projek utama di Singapura dan di Medini, Iskandar Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus meningkatkan lagi kerjasama yang sedia terjalin.
"Kami mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala dan usaha meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang yang sekali gus memberi isyarat mengenai komitmen kami untuk merapatkan lagi perhubungan sedia ada," katanya.
Katanya, usaha ke arah mempromosikan projek dan kerjasama antara kedua-dua negara itu menunjukkan perkembangan positif dan beliau yakin ia dapat dijalankan dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment