My Add

Saturday 29 October 2011

Rakyat perlu bijak guna hak sebagai pengguna: Ismail Sabri

SABTU, 29 Oktober, 2011: Rakyat boleh memboikot barangan tertentu yang dinaikkan pada harga tidak munasabah bagi menangani sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab serta ingin meraih keuntungan berlipat ganda, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pengguna boleh mencontohi sikap rakyat di negara maju yang bijak menggunakan hak mereka bagi memprotes kenaikan harga sesuatu barangan. 

"Di negara berkenaan, rakyat mereka boleh mengawal dan menentukan kenaikan harga barangan walaupun tidak ada penguat kuasa. 

"Oleh itu, kerajaan tidak perlu menetapkan harga barangan kawalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Daerah Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong, hari ini. 

Menurut Bernama, Ismail Sabri diminta mengulas tindakan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahu rakyat negara ini memboikot barangan yang harganya dinaikkan peniaga tidak bertanggungjawab sesuka hati mereka. 

Katanya, jika rakyat melaksanakan hak dan kuasa mutlak itu dengan tegas, nescaya peniaga tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menjual pada harga yang lebih berpatutan. 

"Rakyat tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk melindungi hak mereka, tetapi perlu bijak menggunakan hak mereka agar peniaga tidak berani mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata ketika ini terdapat 1,050 gerai makanan menu 1Malaysia di seluruh negara. 

Beliau berkata, gerai itu mendapat sambutan baik rakyat apabila jumlahnya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 1,000 unit sehingga akhir tahun ini.

No comments:

Post a Comment