My Add

Saturday 29 October 2011

Golongan sibuk boleh undi awal


ABDUL Aziz Yusof (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian peserta ketika taklimat PRU 13 kepada pegawai pengurus, semalam -UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

SABTU, 29 Oktober, 2011: Golongan yang sibuk bertugas ketika sesuatu pilihan raya diadakan seperti wartawan, doktor, juruterbang dan pekerja dalam industri cari gali minyak mungkin dibenarkan mengundi awal atau secara pos seperti polis dan tentera pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan tersebut sedang dibincangkan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen sebagai antara usaha pembaharuan proses pilihan raya.

Katanya, sekiranya dipersetujui, rang undang-undang dan peraturan berkaitan akan dibentangkan di Parlimen untuk pindaan bagi membolehkan kumpulan tersebut menunaikan hak sebagai rakyat pada pilihan raya.

"Dalam negara kita, ada beberapa kumpulan yang tidak dapat mengundi dan kita fikir perlu buat perubahan supaya mereka ini boleh mengundi secara pos atau mengundi awal.

"Ini bergantung kepada pindaan undang-undang serta peraturan dan jika sempat dibuat pindaan ini, ia boleh dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya selepas merasmikan program Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada 24 Pegawai Pengurus dan 105 Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya negeri ini di Ipoh, semalam.

Sebelum ini, terdapat dakwaan pihak tertentu bahawa undang-undang negara sedia ada mendiskriminasi ratusan ribu rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara yang dihalang mengundi pada setiap kali pilihan raya umum diadakan sejak 2002.

Mengikut Akta Pilihan Raya, hanya empat kategori rakyat layak membuang undi pos iaitu anggota tentera, kakitangan awam yang bertugas di luar negara, pelajar sepenuh masa dan keluarga kumpulan berkenaan.

Semua mereka akan mengundi di pejabat kedutaan atau konsulat di negara yang didiami.Dalam pada itu, Abd. Aziz mengingatkan pegawai dan penolong pegawai pengurus pilihan raya supaya bersikap bebas dan profesional semasa pilihan raya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius tindakan pegawai pengurus pilihan raya menyokong parti tertentu seperti pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 2009 kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti SPR.

"Pegawai daerah yang dilantik menjadi pegawai pengurus pilihan raya juga seelok-eloknya menyerahkan tugas menyambut ketibaan pemimpin kerajaan Persekutuan kepada timbalannya agar tidak dilihat bersikap berat sebelah," katanya.

Menurut Abd. Aziz, SPR dijangka melantik seramai 24 pegawai pengurus, 105 penolong pegawai pengurus dan 20,924 petugas sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13 di Perak nanti.

No comments:

Post a Comment