My Add

Saturday 29 October 2011

Lembaga Getah Malaysia hasilkan mesin bantu penoreh


DR. Salmiah Ahmad (kanan) melihat mesin menoreh getah ARTS sambil diberi penerangan oleh Ketua Unit Reka Bentuk Produk, Dr. Nazirah Ahmad (kiri) dan pegawai penyelidik Lee Jiang Joon (tengah) di Kuala Lumpur, semalam.


SABTU, 29 Oktober, 2011; Lembaga Getah Malaysia (LGM) melakar sejarah apabila berjaya menghasilkan mesin Sistem Toreh Getah Automatik (ARTS) yang pertama di dunia bagi memudahkan dan menjimatkan masa menoreh.

Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Salmiah Ahmad berkata, ARTS bakal meningkatkan produktiviti industri getah negara dengan memudahkan proses penorehan dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.

"Dengan ARTS, pekebun kecil boleh menentukan pukul berapa pokok getah perlu ditoreh, dikumpulkan dan terus dihantar ke pusat pengumpulan getah berhampiran.

"Bagi penyelenggaraan, pekebun kecil hanya perlu mengecas bateri dan pisau torehan setiap enam bulan sekali," katanya pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa Komoditi Malaysia (MICCOS 2011) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di kuala Lumpur, semalam.

Beliau memberitahu, biasanya seseorang penoreh akan mengusahakan empat hektar kebun getah dengan kekerapan menoreh dua hari sekali.Bagaimanapun, dengan ARTS, pekebun boleh menoreh setiap hari dengan hanya menetapkan masanya.Salmiah berkata, kelebihan ARTS ialah mampu menghasilkan susu getah tulen tanpa sebarang pencemaran kerana sistem automatik yang tertutup.

Selain itu, katanya, ARTS amat sesuai digunakan di kebun getah di kawasan berbukit kerana pengumpulan susu getah akan lebih mudah mengikut aliran graviti.

ARTS dihasilkan menerusi kerjasama antara LGM dengan syarikat inovasi terkenal, Zull Design Autotronic dan telah pun dipatenkan serta sedang diuji di ladang LGM Sungai Buloh.Salmiah berharap ARTS akan digunakan bukan sahaja oleh pekebun kecil tempatan bahkan di negara pengeluar getah lain seperti Indonesia dan Thailand.

No comments:

Post a Comment